Home » GRS Kukuh perpaduan, perjuangan dan cinta Sabah menjelang Pilihan Raya
Berita GRS Politik

GRS Kukuh perpaduan, perjuangan dan cinta Sabah menjelang Pilihan Raya

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU:Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyeru rakyat untuk terus menghayati dan mengukuhkan semangat perjuangan yang telah menjadi asas kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sejak penubuhannya.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata konsep #RumahKitaKitaJaga dan #KitaJagaSabah, yang diperkenalkan oleh Presiden Gagasan Rakyat Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yang juga merupakan Pengerusi GRS pada 2 Mac 2023, bukan sekadar slogan politik, tetapi satu falsafah perjuangan yang menekankan perpaduan, kebersamaan dan tanggungjawab bersama rakyat Sabah menjaga negeri tercinta.

“Konsep ini menyeru rakyat Sabah untuk saling berganding bahu tanpa mengira latar belakang demi kestabilan dan kemakmuran negeri,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua konsep tersebut melengkapi empat teras utama perjuangan GRS — #SabahFirst, #SabahForward, #SabahProsper, dan #SabahUnited, yang berpaksikan semangat #SayangiSabah, seperti yang dilaungkan ketika pelancaran rasmi GRS pada 28 Mei 2022.

“Teras ini menggambarkan hala tuju jelas GRS untuk mentadbir negeri dengan memberi keutamaan kepada rakyat Sabah, bergerak ke hadapan secara progresif, mencapai kemakmuran menyeluruh dan mengekalkan perpaduan dalam kepelbagaian,” jelasnya.

Nizam turut mengingatkan bahawa pada Julai 2025, semasa Persidangan Agung Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah, lahirlah gagasan baharu #SabahTanahAirku, yang meneguhkan semangat kecintaan dan kesetiaan terhadap negeri Sabah.

“Tagline ini bukan sekadar simbol, tetapi tekad politik untuk memastikan perjuangan GRS terus berakar pada nilai cinta tanah air, tanggungjawab bersama dan perpaduan sebenar,” ujarnya.

Beliau menyeru seluruh rakyat Sabah untuk terus bersama GRS dalam PRN Sabah akan datang bagi meneruskan agenda pembangunan dan perpaduan yang telah digerakkan sejak 2020.

— TAMAT