Home » PBS tawar diri ketuai jentera ADUN STAR, fokus kekalkan kemenangan GRS
Berita GRS Politik

PBS tawar diri ketuai jentera ADUN STAR, fokus kekalkan kemenangan GRS

Mesyuarat Biro Politik PBS dipengerusikan Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam membincangkan strategi PRN17 dan penyelarasan jentera bersama penyandang ADUN STAR yang kekal bersama GRS.

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) memberi sokongan penuh dan menawarkan diri untuk mengetuai jentera pilihan raya bagi lima penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang memilih untuk kekal bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Biro Politik PBS yang dipengerusikan oleh Pemangku Presiden, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam di ibu negeri, hari ini.

Mesyuarat tersebut bersetuju supaya lima bahagian PBS di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sook, Bingkor, Paginatan, Liawan dan Tulid segera memulakan perbincangan serta penyelarasan dengan penyandang ADUN masing-masing bagi memperkukuh kerjasama jentera di lapangan.

Lima penyandang ADUN berkenaan ialah Datuk Ellron Angin (Sook), Datuk Robert Tawik (Bingkor), Datuk Abidin Madingkir (Paginatan), Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan Datuk Flovia Ng (Tulid).

Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS berkata, kelima-lima kawasan berkenaan merupakan antara kubu akar umbi PBS yang kuat dan aktif.

Katanya, dengan menggabungkan kekuatan jentera PBS dan penyandang ADUN STAR tersebut, GRS dapat mengekalkan momentum dan memperkukuh kepercayaan rakyat menjelang PRN17.

“PBS telah lama menjalinkan kerjasama yang erat di peringkat akar umbi dengan mereka. Kita yakin dengan sinergi ini, GRS akan terus meraih keyakinan pengundi dan memastikan kemenangan di kawasan terbabit,” katanya dalam kenyataan.

Joniston menjelaskan, keputusan PBS untuk membantu jentera lima penyandang ADUN STAR dibuat atas dasar tanggungjawab bersama untuk mengekalkan kestabilan politik negeri, selain memastikan kesinambungan pembangunan untuk rakyat Sabah.

“Kerjasama dan kepercayaan antara parti komponen GRS amat penting untuk memelihara kepercayaan rakyat terhadap gabungan ini. PBS mahu meneruskan usaha yang telah lama dibina di bawah payung GRS demi manfaat semua,” ujarnya.

Langkah ini juga dilihat sebagai manifestasi semangat setiakawan dalam GRS walaupun berdepan perubahan landskap politik, susulan keputusan STAR bertanding solo pada PRN17.

— TAMAT