Home » GRS laksana Pelan Tenaga menyeluruh, bukan sekadar janji
Berita GRS Politik

GRS laksana Pelan Tenaga menyeluruh, bukan sekadar janji

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan

KOTA KINABALU:Kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, terus membuktikan komitmen dengan tindakan jelas dan menyeluruh bagi menyelesaikan isu tenaga di Sabah,jauh berbeza daripada tuduhan “kerajaan gagal” yang dilontarkan pihak pembangkang.

Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menegaskan dakwaan Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Nasir, kononnya kerajaan negeri tidak mampu menangani krisis tenaga hanyalah retorik politik lama yang pandai menjerit tetapi tidak membawa sebarang solusi.

“Di bawah kepimpinan Hajiji, kerajaan negeri bersama Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) telah mengemukakan cadangan projek Southern Link,talian penghantaran sepanjang 330 kilometer dari Sipitang ke Tawau,yang bakal melengkapkan grid tenaga Sabah. Perancangan ini diharap dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) demi kesejahteraan rakyat, khususnya di Pantai Timur,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Nizam, langkah lebih besar turut dirangka termasuk cadangan pengambilalihan SESB oleh kerajaan negeri bagi membolehkan Sabah menentukan sendiri hala tuju tenaga. Usaha ini disokong dengan Pelan Pembangunan Penjanaan fast track, penyewaan loji sementara, pembinaan loji solar berskala besar serta pemasangan Battery Energy Storage System (BESS) 100MW yang kini dipercepatkan jadual siapnya.

Beliau turut menambah bahawa pelan jangka panjang telah digerakkan menerusi Pelan Induk & Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040) yang merangkumi 16 strategi utama bagi memastikan bekalan tenaga yang lebih stabil, mampu milik dan mampan. Penubuhan Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECOS) pula memberi kuasa penuh kepada kerajaan negeri untuk mengawal selia tenaga elektrik dan gas secara langsung.

“Semua ini adalah kerja nyata. Projek sudah berjalan, pelan sudah dirangka, pelaksanaan sedang dipercepat. Inilah perbezaan ketara antara kerajaan GRS dengan pembangkang. Kita bekerja, mereka hanya bercakap,” tegasnya.

Nizam menambah bahawa rakyat tidak lapar dengan kenyataan politik semata-mata, sebaliknya mahu melihat tindakan yang memastikan lampu di rumah terus menyala dan kilang kekal beroperasi. “Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah membuktikan keupayaan mentadbir dengan tindakan jelas, bukan janji kosong,” katanya.

TAMAT