KOTA KINABALU:Kadar pengangguran di Sabah terus mencatatkan penurunan, sekali gus membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif pemerkasaan pekerjaan yang dilaksanakan kerajaan negeri selaras dengan matlamat pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurut Laporan Survei Tenaga Buruh Suku Kedua 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran negeri ini turun kepada 6.2 peratus, hampir menyamai paras pra-pandemik 6.1 peratus yang direkodkan pada Suku Kedua 2019. Pencapaian ini juga merupakan kadar terendah sejak pandemik COVID-19 dan mencerminkan perkembangan positif ekonomi negeri.
Kerajaan negeri memaklumkan, penurunan ini didorong oleh beberapa langkah penting termasuk pengambilan berfasa dalam sektor perkhidmatan awam, penstrukturan semula keperluan sumber manusia, kemasukan pelaburan baharu serta pembinaan kilang dan pusat industri. Pelaksanaan dasar penyediaan peluang pekerjaan untuk golongan miskin tegar di bawah kerangka SMJ turut memberi kesan langsung.
Sejak 2020, jumlah penempatan pekerjaan meningkat daripada 6,922 kepada 11,327 pada 2024, manakala jumlah kehilangan pekerjaan menurun hampir ke paras pra-pandemik.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, bagaimanapun mengakui Sabah masih berdepan cabaran pengangguran, khususnya dalam kalangan belia. Bagi meningkatkan kebolehpasaran golongan muda, kerajaan negeri menekankan pendidikan lanjutan, latihan kemahiran, dan pemerkasaan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional).
Beliau berkata, penubuhan Majlis TVET Sabah pada Mei tahun ini merupakan anjakan penting dalam pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi.
“TVET bukan lagi pilihan sampingan, tetapi laluan arus perdana untuk melahirkan tenaga kerja profesional, usahawan, dan inovator masa depan,” katanya.
Menurut Hajiji, kemahiran teknikal dan vokasional adalah tunjang utama pertumbuhan sektor utama Sabah termasuk minyak dan gas, pertanian, pelancongan serta pembuatan. Peranan ibu bapa dan masyarakat juga penting untuk menggalakkan belia menjadikan TVET sebagai pilihan utama, bukan sekadar alternatif.
Kerajaan negeri menegaskan pembangunan modal insan berkemahiran tinggi adalah pelaburan jangka panjang paling penting bagi memastikan generasi muda Sabah dapat menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi.
— TAMAT

























Add Comment