KOTA KINABALU – Satu jawatankuasa ditubuhkan bersama rakan parti dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH) untuk perbincangan berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal menjelang tidak lama lagi.
Pengerusi GRS Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, penubuhan jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun.
“Kita juga sudah bincang tadi mengenai untuk tubuh satu jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden Datuk Seri Masidi Manjun untuk berbincang dengan rakan parti komponen dalam GRS, termasuklah juga parti yang mendukung kerajaan sekarang ini iaitu PH Plus.
“Jadi kita fokuskan kepada perbincangan dengan rakan-rakan dalam kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat tersebut sempena Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat 2024 yang akan diadakan selama tiga hari bermula Jumaat ini.
Hajiji ketika mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi Gagasan Rakyat di SICC, Kota Kinabalu.
Bagaimanapun, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat berkata, walaupun perbincangan itu melibatkan rakan dalam GRS dan PH Plus namun bukan bermakna pihaknya tidak mahu menerima kerjasama daripada parti lain.
“Ini tidak bermakna kita menutup pintu kepada parti-parti lain yang juga mendukung kerajaan Perpaduan ini.
“Jadi kita sentiasa terbuka dan boleh berbincang, yang penting ialah untuk kebaikan negeri kita,” katanya.
Sementara itu, bercakap mengenai persidangan tersebut, beliau yang juga Ketua Menteri Sabah berkata, pihaknya menjangkakan kehadiran melebihi 6,000 orang.
“Persidangan Agung Tahunan Gagasan Rakyat iaitu pada 8, 9 dan 10 Oktober ini iaitu hujung minggu ini. Jadi untuk makluman, perwakilan dan pemerhati dijangka hadir sekitar 5,000 hingga 6,000 orang, mungkin lebih dari itu.
“Sebagai makluman juga, kita telahpun mempunyai ahli setakat ini, seramai 304,817 orang dengan cawangan 6,977. Dalam persidangan ini, kita akan membahaskan beberapa usul, selain daripada membahas ucapan dasar Presiden kita juga akan membahaskan usul mengenai ekonomi dan pendidikan.
“Jadi, kita juga telah menetapkan para perwakilan yang akan mengambil bahagian untuk membahaskan usul-usul yang akan dibentangkan di dalam persidangan ini,” katanya.
Tambah beliau lagi, Gagasan Rakyat yang digerakkan itu adalah untuk memberi khidmat kepada rakyat terutama ketika menjelang pilihan raya yang akan datang.
“Kerana semua parti pun, termasuklah parti yang saya pimpin ini dan juga parti-parti komponen GRS mempersiapkan diri menghadapi pilihan raya yang akan diadakan selewat-lewatnya pada bulan Oktober tahun depan.
Add Comment