KIULU: Pertikaian melibatkan agihan kerusi dalam kalangan parti yang mahu membentuk gabungan boleh membawa kepada pertandingan terbuka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ketua Penerangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Joniston Bangkuai berkata, keadaan itu juga mendorong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.
Katanya, ia termasuk bertanding secara solo seperti yang dinyatakan oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.
Hajiji yang juga Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) dalam kenyataannya sebelum ini menegaskan GRS bersedia untuk bergerak solo selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) memutuskan untuk bekerjasama dalam PRN Sabah.
Keputusan itu juga disifatkan oleh ramai pihak sebagai satu penghinaan terhadap GRS.
Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu berkata, pertandingan terbuka mungkin boleh dilihat sebagai satu hikmah yang tersembunyi.
Ini kerana katanya, senario itu akan membolehkan rakyat Sabah memilih antara gabungan parti tempatan dan parti dari Semenanjung.
“Rakyat Sabah mungkin boleh menganggap PRN akan datang ini sebagai satu pungutan suara untuk memilih antara GRS, UMNO yang dipimpin Barisan Nasional, Pakatan Harapan, dan juga Parti Warisan Plus.
“Ini adalah ujian yang jelas sama ada kita mahu dipimpin oleh pemimpin parti tempatan atau oleh mereka yang tunduk kepada arahan parti yang berpangkalan di Kuala Lumpur?.
“GRS telah membuktikan gabungan yang berasaskan parti tempatan mampu membawa pembangunan yang bermakna sambil bekerjasama rapat dengan kerajaan Persekutuan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS) berkata demikian semasa sesi bertemu rakyat di Kampung Tibabar dekat sini selepas merasmikan jalan yang dinaik taraf dari Poturidong ke Tibabar pada Rabu.
Joniston turut menegaskan, walaupun GRS yang berasaskan tempatan menerajui kerajaan negeri, mereka masih mempunyai hubungan kerja yang baik dengan Putrajaya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain itu katanya, geran khas tahunan Persekutuan turut meningkat daripada RM53 juta semasa Parti Warisan (WARISAN) memerintah kepada RM600 juta di bawah pentadbiran GRS.
Menurutnya, contoh lain adalah Perjanjian Kerjasama Komersial (CCA) yang ditandatangani antara kerajaan negeri yang diterajui GRS dengan PETRONAS yang membawa manfaat kepada Sabah serta meningkatkan hasil negeri.
Sehubungan itu jelasnya, hasil tadbir urus yang baik serta pelan dan strategi pembangunan di bawah inisiatif Sabah Maju Jaya (SMJ), ditambah pula dengan hubungan baik dengan Putrajaya, hasil tahunan negeri meningkat kepada RM6.9 bilion dan rizab negeri hampir mencecah RM8 bilion.
“Kita bukan anti Persekutuan, tetapi kita percaya Sabah mesti ditadbir oleh anak tempatan, dengan pemimpin yang tidak terikat dengan arahan luar.
“GRS adalah bukti Sabah boleh bekerjasama secara matang dengan Putrajaya, dan dalam masa yang sama mengutamakan kepentingan rakyat Sabah,” katanya.
Joniston turut menyentuh mengenai ‘taktik’ politik terdahulu yang melibatkan UMNO-BN, WARISAN, dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), yang disifatkan sebagai usaha gabungan untuk menjatuhkan Ketua Menteri pada Januari 2023.
Beliau turut menganggap keadaan itu sebagai mementingkan diri dan tidak bermoral.
“Ia bukan soal kepimpinan, tetapi soal penguasaan dan kepentingan peribadi,” katanya.
Justeru, Joniston menggesa para pengundi agar merenung kembali cubaan rampasan kuasa yang berlaku pada Januari 2023 dan memilih kestabilan berbanding permainan politik.
“Kita telah melihat kerosakan yang berlaku akibat perebutan kuasa yang tidak berhemah.
“Sabah perlukan kepimpinan yang stabil dan ikhlas. Pilihan raya ini adalah peluang kita untuk mara ke hadapan, bukan berundur ke belakang,” katanya.
–Siti Aisyah Narudin

























Add Comment