Home » Hajiji ingatkan PPM jaga amanah, elak salah guna kuasa
Berita GRS Politik

Hajiji ingatkan PPM jaga amanah, elak salah guna kuasa

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (duduk di tengah) bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) yang baharu dilantik.

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, menasihatkan semua Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) supaya melaksanakan tugas dengan penuh integriti, amanah dan tanggungjawab, memandangkan mereka merupakan wakil rasmi Kerajaan Negeri di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, PPM yang ditempatkan di kawasan pembangkang khususnya memikul tanggungjawab besar untuk membina keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyaksikan majlis angkat sumpah jawatan.

“PPM adalah mata dan telinga kerajaan di lapangan. Tanggungjawab kamu bukan kecil, lebih-lebih lagi di kawasan pembangkang yang memerlukan pendekatan lebih berhemah, matang dan berintegriti.

“Laksanakan tugas dengan sebaik mungkin serta patuhi segala arahan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Angkat Sumpah Jawatan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Fasa Kedua melibatkan 35 orang PPM, yang kebanyakannya akan berkhidmat di kawasan pembangkang, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Sebelum ini, seramai 45 orang PPM telah mengangkat sumpah jawatan pada majlis angkat sumpah fasa pertama yang diadakan pada 13 Januari lalu.

Dalam ucapannya, Hajiji mengingatkan semua PPM supaya sentiasa menjaga imej kerajaan serta tidak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor beramah mesra bersama Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM).

“Jangan sesekali mengejar kepentingan diri sendiri. Jika saya mendapati ada PPM yang mengabaikan kepentingan rakyat atau menyalahgunakan kedudukan, saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuk memecat mereka.

“Utamakan rakyat yang benar-benar memerlukan bantuan,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa PPM perlu memainkan peranan aktif menjelaskan dasar, inisiatif serta pencapaian Kerajaan Negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada masyarakat di peringkat akar umbi.

Menurutnya, penyampaian maklumat yang tepat dan berfakta penting bagi memastikan rakyat memahami usaha kerajaan serta tidak terpengaruh dengan maklumat tidak sahih.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah barisan menteri Kabinet Negeri serta Pengarah Unit PPM, Datuk Awang Kadin Tang.

–TAMAT