KOTA KINABALU: Kabinet Negeri hari ini meluluskan penubuhan Jawatankuasa Kerjasama Awam-Swasta dan Pengurusan Projek Konsesi Negeri bagi memperkukuh tadbir urus serta memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan secara lebih tersusun, telus dan berdaya maju.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata jawatankuasa baharu itu akan menggantikan Jawatankuasa Penswastaan Negeri yang ditubuhkan sejak tahun 1991.
Menurut beliau, penubuhan jawatankuasa berkenaan sejajar dengan keperluan semasa pembangunan negeri yang kini melibatkan pelbagai bentuk kerjasama strategik antara kerajaan dan sektor swasta.
“Berbeza dengan jawatankuasa sebelum ini yang hanya menilai projek dari perspektif penswastaan, jawatankuasa baharu ini akan menilai tiga kategori projek, termasuk projek kerjasama awam-swasta serta pengurusan projek konsesi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet pertama Jabatan Ketua Menteri selepas pembentukan kerajaan baharu di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Hajiji menjelaskan, sebarang cadangan projek kerjasama awam-swasta akan dimulakan oleh kementerian berkaitan sebelum dirujuk kepada Jawatankuasa Teknikal di bawah jawatankuasa baharu itu yang dipengerusikan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN).
“Sekiranya sesuatu projek didapati berdaya maju, ia akan dibawa ke Jawatankuasa Induk yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri untuk penelitian lanjut sebelum dibentangkan kepada Kabinet Negeri bagi kelulusan muktamad,” katanya.
Langkah itu, katanya, bertujuan memastikan ketepatan skop projek yang melibatkan Kerajaan Negeri dan sektor swasta, termasuk konsesi bekalan air, pembinaan jalan raya serta projek perumahan.
“Semua usaha sama yang melibatkan Kerajaan Negeri kini diwajibkan melalui proses penilaian jawatankuasa ini bagi memastikan kepentingan kerajaan dan rakyat sentiasa terpelihara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Hajiji berkata Kabinet Negeri turut meluluskan kriteria tambahan serta penambahbaikan terhadap inisiatif Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) bagi tahun ini.
Menurut beliau, kos pembinaan Rumah SMJ bertiang dinaikkan kepada RM95,000 seunit, manakala Rumah SMJ tidak bertiang ditetapkan sebanyak RM85,000 seunit.
Kenaikan tersebut bertujuan menampung kos tambahan termasuk pengangkutan bahan binaan, kerja penambakan tanah di tapak rumah serta pemasangan kemudahan asas seperti tiang elektrik dan sambungan paip air.
Sementara itu, Hajiji turut mengumumkan bahawa Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026–2030 akan dilancarkan pada 30 Januari ini, bersempena Majlis Amanat Ketua Menteri kepada penjawat awam negeri, warga syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta badan berkanun.
Lebih 7,000 penjawat awam dijangka menghadiri majlis berkenaan.
–TAMAT

























Add Comment