KOTA KINABALU: Ketua Pergerakan Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda, telah dilantik sebagai Pengerusi baharu Sedcovest Holdings Sdn Bhd, sebuah syarikat milik Kerajaan Negeri Sabah.
Beliau secara rasmi memulakan tugas hari ini di Pejabat Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Wisma Sedco, Wawasan Plaza, di sini.

Pada sesi pertama tugasnya, Redonah diberikan taklimat mengenai operasi, struktur organisasi serta hala tuju strategik syarikat oleh Pengurus Besar Sedcovest Holdings Sdn Bhd, Abd Rahim Md Zain, bersama barisan pengurusan kanan.
Dalam pada itu, Redonah merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, atas kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk menerajui syarikat berkenaan.

Beliau menyifatkan pelantikan tersebut sebagai satu amanah besar dan tanggungjawab penting bagi memastikan Sedcovest terus berkembang sebagai entiti pembangunan ekonomi negeri yang berdaya saing dan berimpak tinggi.
Menurutnya, pembangunan ekonomi yang inklusif perlu bermula di peringkat akar umbi, khususnya melalui pemerkasaan usahawan wanita menerusi latihan keusahawanan, akses pembiayaan, bimbingan perniagaan serta peluasan pasaran.

“Usaha memperkasa wanita dalam sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bukan sahaja mampu meningkatkan pendapatan isi rumah, malah menyumbang secara langsung kepada pertumbuhan ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau berkata, pendekatan tersebut selari dengan aspirasi Kerajaan Negeri Sabah untuk merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar, sekali gus melahirkan lebih ramai usahawan wanita yang berdaya tahan, berdaya saing dan mampan.
Dalam lawatan sulungnya, Redonah turut dibawa melawat beberapa premis perniagaan serta kemudahan Pusat Inkubator Perniagaan (PIP) yang baharu di Anjung Selera, Teluk Likas, bersama pihak pengurusan Sedcovest.
Turut hadir pada sesi taklimat itu ialah Pengurus Kewangan dan Akaun Dk Elymanizan Pg Masri, Pengurus Pembangunan Usahawan Nor Jahan Yaakub, Pengurus Pembangunan Sumber Manusia dan Pentadbiran Cannisius Ebin Gon, Pengurus Pembangunan Projek dan Perniagaan Malizah Oldy, serta Pengurus Pengurusan Hartanah Dayang Hanizah Mohd Yusop.
–TAMAT

























Add Comment