Home » Hajiji menavigasi Sabah ke landasan sebenar
Politik Sudut Pandangan

Hajiji menavigasi Sabah ke landasan sebenar

KOMITMEN: Hajiji ketika berucap sempena mesyuarat AMT Gagasan Rakyat kelmarin.

DUA hari lepas, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) — dengan satu isyarat jelas — fokus kepada kesiapsiagaan menghadapi Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Mesyuarat tertutup itu memberi tumpuan kepada komitmen memperkukuh gerak kerja organisasi di semua peringkat.

Ketua Menteri Sabah merangkap Presiden Gagasan Rakyat itu dalam catatannya menerusi laman facebook seusai mesyuarat menyatakan bahawa: “Perpaduan dan kesatuan dalam Gagasan Rakyat adalah kekuatan utama kita dalam mendepani cabaran politik semasa.” 

Mesyuarat itu adalah kesinambungan daripada siri jelajah Hajiji ke serata pelosok daerah sejak kebelakangan ini, serta persediaan menjelang mesyuarat agung tahunan Gagasan Rakyat penghujung bulan depan.

Ketika ini, sebahagian besar daripada 73 bahagian Gagasan Rakyat seluruh negeri sudah selesai mengadakan mesyuarat masing-masing.

Penganalisis politik melihat PRN17 ini bakal menjadi medan pertembungan menarik berikutan dinamika politik di negeri ini yang mencerminkan corak politik yang unik.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang ditunjangi Gagasan Rakyat bersama tujuh komponen lain, bakal menghadapi pertembungan pelbagai penjuru dengan sejumlah parti lokal dan nasional serta calon-calon Bebas.

GRS yang kini memimpin kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai rakan gabungan, telah menunjukkan prestasi pentadbiran yang relatif stabil sejak 2020. 

Dikenali kerajaan GRS-PH Plus, ia dibentuk secara akomodatif dan kolektif oleh Hajiji pasca kegagalan Langkah Kinabalu yang kemudian mengubah landskap politik Sabah.

Sehingga kini, belum ada jajaran politik rasmi disepakati dalam kalangan semua kelompok parti yang bertapak di negeri ini.

Justeru, ada kebarangkalian bahawa PRN17 ini menyaksikan perlawanan bebas dan terbuka, disusuli pembentukan jajaran baharu selepas keputusan diketahui kelak.

Jajaran politik sukar dibina sekarang kerana soal agihan kerusi menjadi isu dasar dan titik konflik yang rumit untuk dirungkai.

Parti-parti tempatan pula kini meniupkan naratif `politik lokal untuk rakyat tempatan’ sebagai sinergi politik.

GRS sendiri memperoleh legitimasi lokal kerana membawa naratif `Sabah untuk Sabahan’ selari prinsip lokalisme politik.

Ia berakar dari sentimen yang semakin kukuh dalam kalangan rakyat Sabah bahawa negeri ini memerlukan dasar dan kepimpinan yang memahami realiti tempatan, khususnya berkaitan hak MA63, ekonomi luar bandar, dan pembangunan infrastruktur.

Hajiji mengemudi GRS dengan gaya kepimpinan tersendiri — sederhana tetapi tegas, moderate dan tidak agresif.

Ini selaras dengan teori pemimpin transaksional yang menekankan kestabilan dan pragmatisme. Beliau mendapat sokongan tinggi melalui pendekatan inklusif, dasar pembangunan serta prinsip perjuangan yang konsisten.

Hajiji telah berjaya membina permuafakatan politik yang relatif stabil dengan PH di peringkat negeri, meskipun terdapat perbezaan ideologi. 

Ini menjadi asas kepada wujudnya `GRS-PH Plus’, satu istilah tidak rasmi yang menggambarkan kerjasama lintas parti untuk kestabilan pentadbiran. 

Hakikatnya, Hajiji adalah tokoh realis dalam kerangka politik Sabah. Beliau berjaya menavigasi Sabah keluar dari ombak politik yang bergelora suatu ketika dulu, kemudian memposisikan semula hala tuju negeri ke landasan sebenar.

Ini menjadikan beliau sebagai tokoh penting dalam pembinaan politik lokal moden Sabah, mewakili satu fasa transformasi –daripada wakil kepada pemimpin, daripada pengikut kepada pembentuk arah.

Di sisi lain, rakyat dilihat semakin matang dalam membuat penilaian dan keputusan politik. 

Tumpuan mereka kini bukan semata-mata kepada retorik politik, tetapi kepada prestasi sebenar – adakah janji ditunaikan, adakah pembangunan benar-benar berlaku, dan adakah kerajaan mendengar suara rakyat.

Dalam konteks ini, GRS-PH Plus mempunyai kelebihan kerana telah membuktikan beberapa pencapaian dasar yang signigfikan seperti program Rumah SMJ, bantuan pendidikan, serta perjanjian dengan Petronas berkaitan hak minyak dan gas, selain peningkatan hasil daripada RM4 bilion kepada RM7 bilion dalam tempoh tiga tahun terakhir ini.

Di seberang Laut China Selata, Kerajaan Pusat dilihat turut berminat mengekalkan GRS sebagai sekutu kerana ia menjamin hubungan baik antara Putrajaya dan Kota Kinabalu. 

Ini memperkukuhkan lagi kelebihan GRS dari segi sokongan persekutuan.

Ini bermakna GRS-PH Plus berada dalam posisi terbaik untuk mempertahankan kerajaan negeri jika koalisi dikekalkan dan prestasi dipertingkatkan.

Namun, dengan landskap politik yang dinamik, keputusan akhir tetap berada di tangan rakyat Sabah yang semakin bijak dan berani membuat perubahan.

PRN-17 bukan sekadar soal mengekalkan kuasa atau merampas kerusi. Ia adalah medan untuk rakyat Sabah menentukan masa depan politik negeri yang benar-benar berpaksikan kehendak mereka sendiri.

Rakyat Sabah kini menuntut pembangunan setanding dengan Sarawak — baik dari segi infrastruktur dan kuasa autonomi, mahupun status politik yang setara — sekali gus mencerminkan aspirasi penyamaan status dalam kerangka geopolitik di Malaysia Timur. 

*Datuk Lichong Angkui ialah seorang wartawan veteran Sabah.Beliau juga merupakan Ketua Pengarang Utusan Borneo. Penulisan ini berdasarkan pandangan beliau sebagai pemerhati politik yang berfikir di luar kotak.