KOTA KINABALU: Jentera pilihan raya diingatkan supaya tidak terlalu yakin menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN-17) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda, berkata keyakinan melampau boleh membawa padah kerana kemenangan sebenar hanya boleh diraikan selepas pengumuman rasmi dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
“Dalam apa jua gerak kerja, semua peringkat kepimpinan parti tidak boleh mempunyai sikap terlalu yakin kononnya kita akan menang.
“Kemenangan hanya boleh disahkan selepas pengisytiharan SPR pada malam pengundian PRN-17 nanti,” katanya ketika mempengerusikan Mesyuarat Exco Wanita Gagasan Rakyat Sabah di Alamesra, kelmarin.
Turut hadir, Naib Ketua Wanita Gagasan Rakyat, Datuk Aziah Atoh; Penolong Setiausaha, Fahzean Mohidin; Ketua Penerangan, Senator Datuk Anna Bell Perian serta barisan exco wanita parti itu.
Redonah berkata, pelbagai faktor boleh mempengaruhi keputusan pilihan raya, malah perubahan undi boleh berlaku sehingga ke saat akhir hari pengundian.
Beliau turut mengingatkan jentera parti agar tidak menjadikan kemenangan lalu sebagai ukuran untuk berasa selesa.
“Mungkin kemenangan yang kita capai sebelum ini bukan kerana kita kuat, sebaliknya kerana rakyat mahu memberi peluang kepada kita untuk memerintah.
“Jika kita leka dan silap langkah, undi boleh beralih kepada pihak lawan,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, Gagasan Rakyat perlu mengatur strategi lebih mantap dan tersusun bagi mengekalkan momentum sokongan rakyat menjelang PRN-17.
Redonah turut yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih menjadi pilihan rakyat untuk terus mentadbir negeri ini berdasarkan rekod pencapaian yang dicapai sepanjang tempoh pentadbiran.
“Apa yang penting sekarang adalah memastikan rakyat tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang yang cuba memesongkan sokongan.
“Gerakan Wanita perlu lebih agresif mendekati rakyat dan pengundi melalui perancangan rapi, kecekalan serta kesabaran tinggi kerana setiap usaha pasti berdepan cabaran,” katanya.
— TAMAT
Add Comment