Home » Hajiji tegaskan Sabah miliki autonomi penuh kawal kemasukan individu
Berita GRS Politik

Hajiji tegaskan Sabah miliki autonomi penuh kawal kemasukan individu

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU:Kerajaan negeri mempunyai kuasa penuh dalam menentukan kemasukan mana-mana individu ke Sabah, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Menurut beliau, sebarang tindakan hanya akan diambil selepas kerajaan menerima laporan lengkap daripada pihak keselamatan.

“Kerajaan negeri mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan siapa yang boleh masuk ke Sabah atau tidak. Namun, tindakan hanya diambil setelah mendapat laporan dan maklumat lengkap daripada pihak keselamatan,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Kedai Jujur 2025 di Sekolah Kebangsaan (SK) Mutiara, di sini, hari ini.

Beliau mengulas isu membabitkan ahli perniagaan, Albert Tei, yang dilaporkan dihalang memasuki Sabah ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK) pada Isnin. Albert kini berdepan pertuduhan rasuah di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu melibatkan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah.

Dalam perkembangan lain, Hajiji berkata kerajaan sedang meneliti kelayakan 13 mangsa yang terkorban dalam bencana banjir dan tanah runtuh baru-baru ini untuk menerima manfaat di bawah Skim Insurans Rakyat Sabah.

“Saya telah berbincang dengan Kementerian Kewangan untuk menyalurkan bantuan kematian daripada skim insurans itu. Kita akan semak dan pastikan sama ada mereka layak atau tidak,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan segera kepada keluarga mangsa.

“Kerajaan telah memberi bantuan melalui Yayasan Kebajikan Sabah sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa, selain peruntukan tambahan RM10,000 daripada kerajaan negeri,” jelasnya.

Menurutnya, siasatan lanjut akan dilakukan bagi menentukan sama ada skim insurans tersebut turut meliputi mangsa bencana berkenaan.

— TAMAT