Home » Sabah perkukuh pemuliharaan tanah bencah demi pembangunan mampan
Berita GRS Politik

Sabah perkukuh pemuliharaan tanah bencah demi pembangunan mampan

Datuk Abidin Madingkir yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, bersama tetamu jemputan melakukan gimik perasmian Simposium Antarabangsa Kelima Pemuliharaan dan Pengurusan Tanah Bencah 2025 di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Pemuliharaan tanah bencah di Sabah terus menjadi fokus utama kerajaan negeri sebagai khazanah alam yang perlu dijaga demi pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam usaha melindungi tanah bencah kerana sumber semula jadi merupakan asas kepada ekonomi, budaya dan kehidupan masyarakat.

“Melalui ekopelancongan, perikanan lestari, perdagangan karbon dan perusahaan berasaskan komuniti, tanah bencah bukan sahaja melindungi alam semula jadi, malah membuka peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir, ketika merasmikan Simposium Antarabangsa Kelima Pemuliharaan dan Pengurusan Tanah Bencah 2025 di sini, semalam.

Menurut Hajiji, kerajaan negeri telah melaksanakan pelbagai langkah proaktif termasuk pewartaan kawasan perlindungan, penetapan Kota Kinabalu Wetland sebagai Tapak Ramsar Berkepentingan Antarabangsa, serta pemuliharaan hutan bakau, tanah gambut dan ekosistem pesisir pantai.

Inisiatif di bawah Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) turut memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif dengan pemeliharaan alam sekitar sebagai prinsip utama.

“Kerajaan negeri bersama komuniti tempatan, NGO seperti Sabah Wetlands Conservation Society (SWCS), institusi penyelidikan dan rakan antarabangsa telah berjaya memulihkan ribuan hektar hutan bakau serta membangunkan projek ekopelancongan berasaskan komuniti. Usaha ini bukan sahaja menjana pendapatan penduduk, tetapi juga mengukuhkan program pendidikan alam sekitar dan penyelidikan saintifik,” jelasnya.

Hajiji mengakui cabaran pemuliharaan tanah bencah semakin besar akibat perubahan iklim, pembandaran dan amalan tidak lestari. Justeru itu, kerajaan negeri kini melaksanakan penyelesaian berasaskan alam semula jadi, strategi penyesuaian iklim dan kerjasama antarabangsa bagi memastikan usaha pemuliharaan kekal relevan.

“Kerajaan negeri komited untuk memperluaskan kawasan pemuliharaan, meningkatkan keupayaan penyelidikan dan melabur dalam pembiayaan mampan seperti perdagangan karbon serta pampasan biodiversiti,” katanya.

Dalam masa sama, Hajiji mengiktiraf peranan SWCS yang kini dalam proses mencalonkan dua lagi kawasan sebagai Tapak Ramsar Berkepentingan Antarabangsa, iaitu Tanah Bencah Semenanjung Klias dan Tanah Bencah Lahad Datu.

“Apabila usaha ini direalisasikan, ia akan terus mengangkat nama Sabah di peringkat dunia sebagai contoh pemuliharaan alam yang berjaya,” tambahnya.

Simposium kali ini menampilkan tiga sesi utama – Sumber Marin (Ekonomi Biru), Rejim Kebakaran Tanah Bencah/Antara Muka Bandar-Tanah Bencah, serta Pemulihan dan Penjagaan Tanah Bencah – yang dianggap tepat pada masanya untuk memperkukuh kerjasama dan idea baharu.

— TAMAT