PENAMPANG:Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor semalam turun padang meninjau situasi banjir dan tanah runtuh yang melanda Penampang dan Putatan, selain menyerahkan bantuan segera kepada mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS).
Lawatan bermula di PPS Kampung Sarapung sekitar jam 5.30 petang sebelum Hajiji meneruskan tinjauan ke beberapa lokasi di Putatan walaupun hujan lebat berterusan. Beliau mahu melihat sendiri keadaan mangsa bagi menzahirkan keprihatinan kerajaan negeri.

Di Kampung Sarapung, Hajiji menerima taklimat daripada Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Penampang, Normi Dyena John Tren, sebelum mengagihkan bantuan wang tunai dan bakul makanan kepada 40 ketua isi rumah. Bantuan tersebut disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam Negeri (JPBN) bagi meringankan beban mangsa banjir dan tanah runtuh.
Ketua Menteri menegaskan kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan rakyat.
“Kerajaan akan pastikan setiap mangsa bencana menerima bantuan sewajarnya supaya mereka tidak berasa terpinggir,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada agensi kerajaan, pasukan keselamatan dan sukarelawan yang bertungkus-lumus menguruskan PPS.
Di Putatan, Hajiji turut melawat PPS Dewan Seri Keramat Ketiau dan Dewan PPR Seri Serigai, masing-masing menempatkan 40 dan 56 ketua isi rumah. Beliau memberi jaminan bantuan kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan serta Yayasan Kebajikan Negeri akan disalurkan dalam tempoh terdekat.
Hajiji yang ditemani Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong, berkata tinjauan lapangan penting untuk menilai sendiri keadaan banjir, tanah runtuh dan gangguan bekalan air serta elektrik yang melanda beberapa daerah.
“Bencana kali ini agak teruk, bukan sekadar banjir tetapi turut melibatkan tanah runtuh dan gangguan bekalan asas. Sebab itu kita batalkan sambutan Hari Malaysia agar tumpuan dapat diberikan kepada mangsa,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang menyalurkan RM10 juta bantuan bencana, sebagai tambahan kepada RM11 juta peruntukan kerajaan negeri bagi membantu penduduk terjejas.
Terdahulu, Hajiji juga meninjau lokasi tanah runtuh di Jalan Tun Fuad Stephens berhampiran Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Tanjung Lipat. Turut serta dalam lawatan ialah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Christina Liew dan Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Mohd Razali Wahab.
— TAMAT

























Add Comment