Home » Sambutan Hari Malaysia dibatalkan: Hajiji
Berita GRS Politik

Sambutan Hari Malaysia dibatalkan: Hajiji

Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah membatalkan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka pada malam 16 September berikutan krisis bencana besar yang berlaku akibat hujan berterusan yang menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah di Sabah.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor, telah memaklumkan perkara tersebut kepada Yang Dipertua Negeri, Tun Musa Aman, hari ini.


“Keutamaan segera kerajaan negeri adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti yang terjejas.

“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama. 

“Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya.

Hajiji turut mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan bersiap sedia untuk tindakan segera memandangkan keadaan di lapangan terus berubah susulan cuaca buruk yang berpanjangan.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong, kini mengadakan mesyuarat untuk memantau perkembangan dan menyelaras tindakan segera di daerah-daerah terlibat.

Hajiji menyeru orang ramai supaya terus berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan, serta memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat ketika usaha sedang dipertingkatkan di seluruh negeri.

TAMAT