TAMBUNAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor yakin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus mendapat mandat baharu rakyat pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17) berdasarkan sentimen yang kuat untuk parti tempatan memimpin negeri ini.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, gabungan itu kini membabitkan lapan parti tempatan iaitu Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Parti Maju Sabah (SAPP), Parti Harapan Sabah, Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Parti Liberal Demokratik (LDP), dan Parti Cinta Sabah (PCS).
“Lapan parti tempatan ini adalah harapan kita dalam PRN akan datang. Kita tidak boleh sia-siakan peluang keemasan ini kerana rakyat mahu parti tempatan memimpin politik Sabah. Inilah masa terbaik untuk memastikan GRS menang cemerlang dalam PRN,” katanya pada program Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 di sini, hari ini.
Hajiji turut memberi jaminan bahawa rekod pentadbiran GRS sepanjang lima tahun lalu membuktikan keupayaan gabungan itu dalam membawa pembangunan dan memulihkan ekonomi negeri berasaskan tiga teras utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.
Dalam sektor pertanian, beliau menegaskan usaha menghidupkan semula Lembaga Padi dan Beras Sabah bertujuan meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) makanan negeri kepada 60 peratus menjelang 2030.
Sektor perindustrian pula menyaksikan kejayaan kerajaan negeri menarik pelabur berimpak tinggi, termasuk pelaburan bernilai RM31 bilion dari Singapura melalui tiga fasa yang dijangka menjana ribuan peluang pekerjaan.
Beliau turut menggariskan pelbagai inisiatif kebajikan seperti bantuan bulanan RM300 kepada kira-kira 100,000 golongan miskin dan miskin tegar, peruntukan RM1.4 bilion bagi bantuan kebajikan untuk 70,000 penerima serta RM1.33 bilion bagi pembangunan modal insan dalam bidang pendidikan.
Dalam ucapannya, Hajiji membandingkan rekod pentadbiran beliau dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Saya ingin bertanya kepada Shafie, apa yang beliau lakukan sepanjang dua setengah tahun menjadi Ketua Menteri dan hampir tujuh tahun menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar?” katanya.
Hajiji menyeru rakyat agar tidak membuat pilihan salah pada PRN akan datang dan mengingatkan bahawa GRS mempunyai pemimpin berwibawa di semua kawasan, termasuk Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan di Tambunan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam yang juga Pemangku Presiden PBS.
— TAMAT

























Add Comment