TAMBUNAN: Kumpulan Yayasan Sabah kekal sebagai institusi penting dalam pembangunan negeri sejak ditubuhkan pada 1966, kata Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau menegaskan Yayasan Sabah bukan sekadar sebuah institusi, sebaliknya legasi perjuangan yang diasaskan oleh pemimpin ulung negeri, Allahyarham Tun Datu Mustapha Datu Harun.
“Tahun hadapan Yayasan Sabah bakal menyambut ulang tahun ke-60, suatu pencapaian luar biasa bagi sebuah organisasi yang ditubuhkan demi rakyat Sabah,” katanya ketika merasmikan Jerayawara Yayasan Sabah Bersama Rakyat (YSBR) 2025 di sini, Khamis.
Pendidikan dan Modal Insan
Hajiji berkata, Yayasan Sabah berperanan besar membantu anak-anak Sabah keluar daripada kitaran kemiskinan melalui tajaan pendidikan.
Institusi di bawahnya, iaitu Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS) dan University College Sabah Foundation (UCSF), juga menjadi platform melahirkan generasi berpengetahuan serta berkemahiran tinggi.
Kerajaan negeri turut memperkenalkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) untuk pelajar daripada keluarga B40.
“Sejak 2022, RM17.8 juta telah dibelanjakan, memberi manfaat kepada 10,912 pelajar,” jelasnya.
Komitmen Alam Sekitar
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah berkata, agensi itu turut diiktiraf dalam bidang pemuliharaan alam sekitar.
Hingga 2025, seluas 199,146 hektar (94.5 peratus) daripada kawasan pemuliharaan Yayasan Sabah telah diwartakan sebagai Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan).
Antara kawasan utama termasuk Lembah Danum, Banjaran Maliau, Imbak Canyon, Sungai Taliwas dan Pantai Silam yang diiktiraf dunia sebagai rujukan saintifik.
“Usaha ini bukan sahaja tentang perlindungan alam, tetapi juga mengukuhkan identiti Sabah sebagai negeri yang menghormati warisan semula jadinya,” katanya.
Mendekati Rakyat
Hajiji berkata, YSBR 2025 membuktikan kesungguhan kerajaan negeri turun padang hingga ke desa untuk memahami keperluan rakyat.
Pada majlis itu, beliau diiringi Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan; Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam; dan Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar.
Antara yang disampaikan ialah tajaan pendidikan Yayasan Sabah, bantuan TPNS kepada pelajar serta warta Tapak Kampung.
— TAMAT

























Add Comment