Home » Kerajaan Negeri komited ubah hidup nelayan Sabah
Berita GRS Politik

Kerajaan Negeri komited ubah hidup nelayan Sabah

SUNTIKAN SEMANGAT: Nelayan pantai timur menerima skim pembiayaan Ko-Nelayan yang diyakini mampu meningkatkan pendapatan dan mengubah kehidupan mereka.

TAWAU: Inisiatif kerajaan negeri menerusi Ko-Nelayan disifatkan sebagai pemangkin penting dalam mengubah kehidupan nelayan di pantai timur Sabah keluar daripada kepompong kemiskinan.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata skim pembiayaan dan bantuan peralatan yang disalurkan kepada nelayan membuktikan kesungguhan kerajaan negeri memastikan sektor perikanan terus menjadi sumber rezeki yang mampan.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ko-Nelayan kerana berjaya menganjurkan program ini, bukan sahaja untuk nelayan di Tawau, tetapi juga di Kunak, Semporna dan Lahad Datu.

“Inisiatif ini merangkumi skim pembiayaan, bantuan enjin bot, serta pengenalan aplikasi digital e-Smart bagi memudahkan nelayan meningkatkan hasil tangkapan sekali gus menambah pendapatan,” katanya selepas merasmikan Majlis Penyerahan Skim Pembiayaan di bawah Program Peningkatan Pendapatan Nelayan dan Keusahawanan Ko-Nelayan Tawau 2025, di sini, hari ini.

Menurut beliau yang juga ADUN Apas, kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM400,000 bagi membantu nelayan terpilih sebagai dorongan untuk terus memperbaiki taraf hidup.

“Saya berharap bantuan ini menjadi suntikan semangat bahawa kerajaan Sabah sentiasa bersama mereka dalam usaha meningkatkan pendapatan dan kesejahteraan hidup,” katanya.

BERSAMA NELAYAN: Nizam bergambar kenangan dengan penerima bantuan selepas merasmikan majlis penyerahan skim pembiayaan Ko-Nelayan di Tawau.

Nelayan berjaya keluar daripada kepompong miskin

Mengulas pencapaian nelayan yang kini berjaya keluar daripada kategori miskin, Nizam berkata kejayaan itu adalah hasil kesungguhan rakyat memanfaatkan peluang yang disediakan kerajaan.

“Saya amat bersyukur melihat ramai nelayan kini berjaya mengubah kehidupan daripada miskin kepada lebih berkemampuan. Sekiranya peluang ini digunakan sepenuhnya, mereka bukan sahaja boleh keluar daripada kepompong kemiskinan malah berdikari sebagai nelayan berjaya.

“Paling penting, mereka mesti tahu bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan atas sokongan yang diberikan,” katanya.

Kursus peningkatan kapasiti

Selain penyerahan bantuan, program itu turut disertakan dengan kursus peningkatan kapasiti untuk nelayan pantai timur Sabah bagi memperkukuh daya saing mereka dalam sektor perikanan.

— TAMAT