KOTA KINABALU:Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor hari ini turun padang meninjau beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat tanah runtuh dan banjir, merangkumi Beaufort, Bongawan, Papar, Kinarut, Penampang serta sekitar Kota Kinabalu.
Lawatan beliau bermula di Dewan Raya Tandugal, Kampung Mook, Kinarut (Papar) di mana Hajiji bertemu Aristhotle @ Jude Joseph yang kehilangan isterinya Emily Johnny, 38, dan anak lelaki mereka Xarell Myre Aristhotle, 11, selepas rumah mereka dihempap tanah runtuh pada 15 September lalu. Ketua Menteri menyampaikan bantuan kewangan kepada Aristhotle dan adik-beradiknya bagi membaiki rumah sebelum meninjau lokasi kejadian.

Hajiji kemudian meneruskan lawatan ke Dewan Kampung Marahang, Papar, untuk bertemu Benney Binjamis @ Emis, yang kehilangan isterinya Wong Moi Ling @ Meymey, 34, serta dua anak mereka, Kamey Asphereynda Benney, 10, dan Christen Kell Benney, 6, dalam tragedi tanah runtuh sama. Bantuan turut disampaikan kepada Benney dan ahli keluarga lain yang terkesan.
Ketua Menteri seterusnya ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon, Beaufort, bagi menyerahkan bantuan kepada 83 keluarga mangsa banjir, sebelum meneruskan lawatan ke Dewan Masyarakat Bongawan yang menempatkan 56 keluarga terjejas.
Pada sebelah petang, Hajiji meninjau kawasan perumahan Country Heights dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya di Kota Kinabalu yang turut dilanda tanah runtuh, sambil memberi kata-kata semangat kepada penduduk yang terkesan.
Hajiji menegaskan bahawa kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri akan terus menyalurkan bantuan segera dan memastikan kebajikan semua mangsa terjamin sepanjang tempoh pemulihan.
— TAMAT

























Add Comment