KOTA KINABALU:Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Haji Nizam Abu Bakar Titingan, menolak kenyataan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee, yang menggelar kerajaan negeri kononnya sedang menghidap “penyakit lima serangkai.”
Menurutnya, kenyataan itu tidak lebih daripada retorik politik kosong tanpa solusi nyata untuk rakyat. Beliau menegaskan bahawa kerajaan negeri di bawah pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Noor, sedang melaksanakan pelan jelas melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan fokus kepada infrastruktur asas, peluang pekerjaan dan peningkatan hasil negeri.
“Masalah air, elektrik dan pembangunan tanah adalah legasi berpuluh tahun. Ia tidak selesai hanya dengan retorik, tetapi dengan dasar berterusan seperti yang dilaksanakan GRS,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.
Nizam turut menyelar retorik “angkat senjata politik” yang dilaungkan Bersatu, menyifatkannya sebagai budaya konfrontasi. Beliau mengingatkan bahawa Ronald sendiri pernah mengakui kemenangan di Sabah hanyalah “permulaan jalan kemenangan PN di Semenanjung.”
“Ini membuktikan Sabah bukan matlamat perjuangan mereka, hanya batu loncatan kuasa untuk Putrajaya,” katanya.
Beliau juga mengingatkan bahawa ketika Presiden Bersatu menjadi Perdana Menteri, isu besar rakyat Sabah termasuk kemudahan asas dan pelaksanaan penuh MA63 tidak diberi perhatian sewajarnya.
Malah, Nizam menyifatkan PN sendiri rapuh, apabila teguran terbuka oleh PAS terhadap Bersatu menunjukkan kerapuhan konsensus dalam gabungan itu. “Bagaimana mahu menjanjikan kestabilan untuk Sabah sedangkan dalam PN sendiri ada keretakan?” soalnya.
Tambahnya, kenyataan seolah-olah Sabah hanya akan dibantu apabila Bersatu berkuasa adalah tidak berasas kerana hakikatnya kerajaan negeri hari ini telah pun mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Persekutuan.
Nizam turut mempersoalkan sikap Ronald yang pernah begitu terdesak untuk menjadi calon GRS pada PRU15 sehingga melanggar konsensus BN ketika itu. “Apakah kerana gagal menjadi calon GRS, Ronald kini berdendam dengan kepimpinan GRS?” katanya.
“Rakyat Sabah cukup matang untuk menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk mereka, dan siapa yang hanya menjadikan Sabah batu loncatan. GRS akan terus fokus membawa kestabilan, konsistensi dan pembangunan untuk semua rakyat Sabah,” katanya.
— TAMAT

























Add Comment