KOTA KINABALU: Ibu bapa perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam usaha mendidik serta memantau tingkah laku anak-anak agar tidak terjebak dalam perlakuan negatif.
Presiden Majlis Belia Sabah (MBS), Abqaree Fawwaz Abekan berkata, pendidikan dan kasih sayang yang mencukupi di rumah adalah kunci utama membentuk jiwa yang sihat dan berakhlak.
Oleh itu katanya, MBS mengecam sekeras-kerasnya sebarang bentuk perbuatan buli melibatkan golongan muda, terutamanya di institusi pendidikan.
Menurutnya, budaya buli sama sekali tidak mencerminkan keperibadian dan budi pekerti masyarakat Sabah yang dikenali dengan kelembutan, sopan santun serta saling hormat-menghormati.
“MBS menggesa agar semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik dan masyarakat berganding bahu memerangi gejala buli demi menjamin masa depan belia yang lebih cemerlang, berakhlak dan berdaya saing.
“Gejala buli sama ada secara fizikal, emosi mahupun buli siber hanya akan meruntuhkan institusi kemasyarakatan dan menyuburkan generasi yang tidak berakhlak,” katanya semasa ditemui selepas merasmikan penutupan The Trading Card Game (TCG) Event di sini pada Ahad.
Beliau menasihatkan semua pihak khususnya ibu bapa semai amalan kasih sayang dan hormat menghormati kepada anak-anak. Ia bermula dari rumah.
Katanya, sekiranya anak-anak mempunyai masalah di sekolah, guru kaunseling pula perlu mengambil peranan yang sewajarnya.
“Di luar, ada saluran seperti pihak berkuasa dan guaman. Buli bukan jalan penyelesaian.
“Buli ini lahir daripada jiwa yang kacau dan tidak tenang. Ia bukan hanya berlaku kerana kurangnya pemantauan sekolah, tetapi berpunca daripada persekitaran keluarga itu sendiri,” katanya.
–Yap Siong Han

























Add Comment