TUARAN: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, melahirkan rasa puas hati terhadap kemajuan Projek Jalan Raya Serusop–Pinturu sepanjang 20.8 kilometer di bawah rangkaian Lebuhraya Pan Borneo yang kini berjalan lebih cepat daripada jadual.
Hajiji berkata demikian selepas melakukan lawatan tapak kerja di Kampung Penimbawan, Tuaran, hari ini.
“Saya gembira melihat kerja-kerja pembinaan berjalan lancar dan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan,” katanya selepas menerima taklimat mengenai perkembangan projek berkenaan.
Projek jalan raya satu lorong dua hala yang menghubungkan Tuaran dan Kota Belud itu melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM465 juta. Pembinaannya bermula pada 20 Januari 2025 dan dijangka siap sepenuhnya pada 19 Julai 2028.
Selain pembinaan jalan, projek ini turut merangkumi pembinaan sebuah jambatan sepanjang 682 meter yang dijangka meningkatkan kelancaran dan keselamatan perjalanan di kawasan tersebut.
Dalam lawatan itu, Hajiji menerima taklimat daripada Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Datuk Philemon Lajawai, yang memberi penerangan mengenai status semasa projek dan langkah-langkah mempercepatkan kerja pembinaan.
Turut hadir Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Shahelmey Yahya, yang menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan setiap fasa projek Pan Borneo disiapkan mengikut jadual demi manfaat rakyat Sabah.
— TAMAT

























Add Comment