Home » Jangan terlalu berpolitik, fokus bangunkan Sabah: Hajiji
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Jangan terlalu berpolitik, fokus bangunkan Sabah: Hajiji

TIBA: Hajiji (tengah) disambut meriah sebaik tiba di majlis perasmian Mesyuarat Tahunan Gagasan Rakyat Bahagian Tamparuli.

TAMPARULI: Semua pihak dinasihatkan untuk berhenti bertelingkah dan memberikan tumpuan sepenuhnya untuk membangunkan Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, jangan terlalu berpolitik, sebaliknya memastikan semua Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) berjaya dicapai untuk pembangunan Sabah.

“Kerajaan negeri di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah menetapkan hala tuju pembangunan Sabah.

“Walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti pandemik COVID-19 dan keadaan politik tidak menentu di peringkat Persekutuan, kita masih berjaya bergerak ke hadapan dengan Hala Tuju SMJ,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tamparuli di sini, hari ini.

Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata, tumpuan utama Gagasan Rakyat adalah pembangunan Sabah.

Katanya, Gagasan Rakyat tidak bersaing dengan rakan komponen GRS, Gagasan Rakyat dibentuk bukan untuk bermain politik, sebaliknya menumpukan pembangunan segala aspek di Sabah.

Sehubungan itu katanya, adalah penting penubuhan Gagasan Rakyat mempunyai kerjasama kukuh dengan semua komponen GRS di 73 bahagian.

Menurutnya, kekuatan kesatuan adalah penting agar GRS dapat terus memimpin kerajaan negeri.

Katanya, walaupun Gagasan Rakyat hanya berusia tujuh bulan, tetapi kesemua ahli serta pemimpinnya sudah matang.

Hajiji turut memuji Gagasan Rakyat Tamparuli di bawah pimpinan Datuk Alijus Sipil kini sudah mempunyai 68 cawangan dengan 2,000 keahlian.

— TAMAT