PESONA alam yang menghijau dan gunung-gunung yang menjulang tinggi, dilitupi hutan hujan tropika, merupakan magnet ekonomi Sabah.
Namun, di sebalik pesona keindahan yang tiada tandingan itu, ada ancaman mengintai. Terbaru, cubaan dalam bentuk perlombongan mineral oleh pihak tertentu yang berpotensi merosakkan keharmonian dan pesona alam.
Hal ini disedari Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Hj Noor, yang tetap bertegas melindungi khazanah negeri ini daripada sebarang percubaan memusnahkannya.
Ketegasan itu menimbulkan kemarahan pihak berkepentingan, lantas timbullah ugutan dan ancaman berbentuk taktikal sehingga terjadi `political assassination’ dan `character assassination’ menerusi penularan video yang dirakam secara sulit.
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20241213/kks-ub121224-mejaeditor1.jpg)
Bagi Hajiji, negeri ini harus dilindungi daripada kerosakan akibat eksploitasi berlebihan. Khazanah alam harus dijaga, untuk diwarisi generasi masa depan.
Sebagai pelindung tanah ini, Hajiji memegang erat tanggungjawab untuk memastikan bahawa setiap keputusan yang diambil akan sentiasa berlandaskan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan alam.
Lagipun, pada tangannya terpintal erah amanah rakyat yang memberikan mandat ketika pilihan raya negeri lalu.
Baginya, perlombongan mineral yang tidak terkawal, seperti api yang membakar hutan, mampu merosakkan ekosistem yang rapuh.
Oleh itu, dalam setiap langkahnya, Hajiji memastikan bahawa negeri ini tidak terjerumus ke dalam jurang kehancuran, sebaliknya terus berkembang maju dan lestari.
Ketika isu perlombongan mineral itu kian memanas, Hajiji mengeluarkan kenyataan khas memberi jaminan kepada rakyat bahawa negeri ini dalam lindungan pimpinannya.
“Saya ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa pentadbiran saya kekal berpegang kepada prinsip keadilan, ketelusan, dan kejujuran.
“Marilah kita bersama-sama memastikan kerajaan ini terus bertanggungjawab, responsif, dan fokus kepada keperluan rakyat demi masa depan Sabah yang lebih maju dan sejahtera,” katanya.
Berkaitan klip video itu, beliau berkata: “Saya ingin memberi jaminan kepada seluruh rakyat Sabah bahawa sumber mineral negeri ini kekal terpelihara dan diuruskan dengan teliti demi masa depan rakyat.”
Menurutnya, kerajaan negeri di bawah pentadbirannya tidak pernah mengeluarkan lesen melombong (mining lease) kepada mana-mana pihak.
Justeru, katanya, sebarang dakwaan bahawa lesen melombong telah diberikan adalah tidak benar sama sekali.
“Setakat ini, kerajaan hanya mengeluarkan prospecting license yang bertujuan untuk penerokaan dan pengumpulan data geomineral.
“Proses ini adalah langkah awal yang diperlukan sebelum sebarang permohonan mining lease daripada syarikat yang layak dapat dipertimbangkan.
“Malangnya, isu ini telah dijadikan propaganda politik oleh pihak-pihak tertentu dengan niat jahat untuk mencetuskan kekeliruan dan menggugat kestabilan politik,” katanya.
Sehubungan itu, Hajiji menegaskan kerajaan Sabah tidak akan tunduk kepada usaha yang berniat untuk menggugat kestabilan politik negeri.
Beliau turut menjelaskan bahawa permohonan kumpulan tersebut melibatkan tanah yang sangat luas, hampir 1 juta ekar.
“Sebahagian besar kawasan itu adalah kawasan perlindungan sepenuhnya (totally protected areas), kawasan tadahan air, dan kawasan pemeliharaan.
“Apabila permohonan mereka tidak berjaya, beberapa klip video telah disebarkan sebagai usaha untuk mengancam kerajaan negeri,” katanya.
Itulah janji Hajiji, untuk melindungi negeri dan memayungi rakyat. Tangannya memegang erat amanah rakyat yang mengangkatnya sebagai pemimpin negeri pada 2020.
![](https://gagasanrakyat.my/wp-content/uploads/2023/07/Lichong-Angkui-1024x1024.jpg)
Add Comment