Home » Elak jadi ‘kambing hitam’, Umno Sabah perlu kurang serang Hajiji, kata penganalisis
Berita GRS Politik

Elak jadi ‘kambing hitam’, Umno Sabah perlu kurang serang Hajiji, kata penganalisis

Penganalisis Jeniri Amir berkata Umno perlu serah kepada rakyat Sabah membuat pilihan pada PRN dijadualkan tahun depan bukannya terlalu menyerang pentadbiran Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor (kanan).

PETALING JAYA: Seorang penganalisis berpendapat Umno Sabah perlu melonggarkan serangan terhadap pentadbiran Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor jika tidak mahu dijadikan “kambing hitam” oleh segelintir pemimpin kerajaan berkait dakwaan skandal perlombongan membabitkan beberapa Adun.

Bercakap kepada FMT, Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak berkata, Umno wajar bersikap “gentleman” dengan menyerahkan kuasa memilih kepada rakyat pada PRN berbanding terus menggoncang politik negeri.

Penganalisis Politik Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak.



Menurutnya, serangan dalam isu seperti dakwaan skandal perlombongan dikaitkan pemimpin kanan kerajaan negeri seharusnya diserahkan kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, cara terbaik menangkis dakwaan salah guna kuasa atau penyelewengan ialah mencari kambing hitam.

Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan

“Alasan terbaik adalah mengatakan ada usaha menggulingkan kerajaan sedia ada,” katanya merujuk kenyataan Timbalan Ketua Menteri, Jeffrey Kitingan terdapat usaha pihak “luar” untuk menggantikan kerajaan negeri.

“Jadi, (Umno) tak perlu buat serangan lagi dalam isu itu, kalau tak berbalik kepada Umno bagai ‘boomerang’ yang melantun kepadanya.”

Ahad lalu, Jeffrey dilaporkan mendakwa “permainan termasuk penyebaran klip video skandal lombong untuk menjatuhkan kerajaan negeri dilakukan parti dari seberang (Semenanjung)”, dipercayai merujuk Umno.

Umno sebelum ini lantang mendesak Hajiji berundur sebagai ketua menteri supaya siasatan kes rasuah perlombongan mineral dikaitkan beberapa Adun kerajaan dapat dijalankan secara bebas dan telus.

Bagaimanapun, sumber enggan dikenali memberitahu FMT, skandal perlombongan itu ialah usaha terancang Umno untuk menggulingkan pentadbiran Hajiji.

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin menafikan parti itu dalang di sebalik skandal tersebut dan sebahagian strateginya untuk menjatuhkan ketua menteri.

Mengulas tindakan perlu diambil Umno untuk memulihkan imejnya, Jeniri berkata, parti itu perlu sedar ia tidak lagi kuat dan dominan seperti sebelum PRU14.

“Umno perlu ambil tindakan bijak dan tidak dilihat seolah-olah terdesak mendapatkan kuasa dan kerusi penting.

“Umno harus berusaha kuatkan akar umbi dan hubungan di peringkat bawah, bertanding secara ‘gentleman’ pada PRN akan datang untuk menentukan siapa lebih layak mewakili Sabah.”

Penganalisis Politik Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah

Lee Kuok Tiung dari Universiti Malaysia Sabah pula berkata, istilah “logik” atau wajar Umno mengambil alih pentadbiran negeri tidak berbangkit kerana mereka tiada kerusi mencukupi di Dewan Undangan Negeri.

“Ia hanya omong-omong kosong, malah percubaan Umno bersama Warisan melalui ‘Langkah Kinabalu’ sebelum ini gagal dan hanya menjejaskan kredibilitinya.”

— FMT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment