Home » Jawapan lisan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor Ketua Menteri Sabah : Isu Perlombongan
Politik Ucapan

Jawapan lisan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor Ketua Menteri Sabah : Isu Perlombongan

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mendengar pertanyaan daripada ADUN Senallang Datuk Seri Shafie Apdal semasa sesi penggulungan

RABU, 16 APRIL 2025

Soalan: YB Senallang bertanya sekiranya akan ada pembangunan emas di kawasan Nagos, dengan keluasan tanah hampir 1,000 hektar, dan bahawa hasil yang sepatutnya menjadi milik Kerajaan Negeri Sabah, kenapa diberikan kepada syarikat swasta?

Jawapan: Untuk makluman YB Senallang, kawasan Nagos telah dikeluarkan lesen mencarigali (Prospecting Licence). Lesen mencarigali bukan pajakan melombong (Mining Lease), di mana bagi pajakan melombong, segala kepentingan Kerajaan seperti ekuiti, royalti, fi pajakan melombong dan lain-lain akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet. Keputusan untuk memberikan lesen mencarigali (Prospecting Licence) kepada syarikat swasta adalah berdasarkan kepada strategi kewangan yang kukuh dan pengurusan risiko yang bijak. Aktiviti penerokaan mineral adalah satu aktiviti yang rumit dari segi teknikal seperti geologi kawasan, jenis mineral, infrastruktur dan lain-lain yang memerlukan modal yang tinggi, dan berisiko tinggi. Ia memerlukan pelaburan awal yang besar tanpa sebarang jaminan pulangan.

Langkah ini dapat melindungi Kerajaan Negeri daripada liabiliti dan risiko kewangan kerana semua kos penerokaan akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat swasta yang memegang lesen mencarigali tersebut. Dengan memindahkan risiko ini kepada entiti swasta, Kerajaan Negeri dibebaskan daripada keperluan untuk melabur modal, mengurus operasi, atau menjalankan pemasaran dan jualan. Ini membolehkan Kerajaan Negeri memberi tumpuan dalam kerja-kerja pemantauan, pemeliharaan alam sekitar, peningkatan kecairan untuk memastikan pulangan yang lebih tinggi.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri telah menubuhkan sebuah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC), Sabah Mineral Management (SMM), sebagai barisan pertama dalam pengawasan dan kawalan. SMM memainkan peranan penting dalam memastikan hanya entiti swasta yang berkeupayaan, mempunyai kepakaran teknikal dan kekuatan kewangan untuk diberikan lesen. SMM akan melindungi kepentingan Kerajaan Negeri dengan memastikan pengisytiharan royalti yang tepat dan tepat pada masanya, memelihara kutipan hasil, serta memastikan semua aktiviti perlombongan dijalankan secara mampan, mematuhi sepenuhnya piawaian ESG, selaras dengan piawaian bertaraf dunia sambil memelihara sumber alam semula jadi Sabah yang bernilai untuk generasi akan datang.