Home » Jawapan lisan keutamaan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor Ketua Menteri Sabah
Politik Ucapan

Jawapan lisan keutamaan oleh YAB Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor Ketua Menteri Sabah

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyampaikan ucapan penggulungan usul terima kasih terhadap ucapan Dasar Kerajaan disampaikan Yang Di-Pertua Negeri Tun Musa Aman

RABU, 16 APRIL 2025

  • SOALAN 1
  • YB. Datuk Wong Hong Jun [Tanjong Aru] bertanya kepada KETUA MENTERI, mengapa Kerajaan menangguhkan semakan semula yuran lesen hotel di bawah Hotel & Lodging Houses By-Laws 1966 selama 6-8 bulan sedangkan hotel SME (Kelas 2 dan 3) sudah menghadapi tekanan kewangan yang serius. 

JAWAPAN:

Tuan Speaker,

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Tanjong Aru serta Dewan yang mulia ini, Kerajaan tiada perancangan untuk membuat penangguhan semakan semula yuran ke atas fi lesen di bawah Undang-Undang Kecil (Hotel & Rumah Lojing) Bandaraya Kota Kinabalu, 1966 ataupun Kerajaan Negeri percaya bahawa pengembalian kadar lesen ini tidaklah membebankan para pengusaha hotel jika dilihat dari nilai yang dikenakan kepada 174 pengusaha hotel Kelas 2 dan 3 berbanding peniaga-peniaga kecil yang lain. Sebagai contoh, fi sebenar yang dikenakan untuk setiap bilik hotel yang dihuni hanyalah sekitar RM4.65 sebilik sehari untuk Kelas 1, RM2.65 sebilik sehari untuk Kelas 2 dan RM1.30 sebilik sehari untuk Kelas 3. Sekiranya bilik ini tidak dihuni, maka tiada bayaran fi yang dikenakan.

Tuan Speaker,

Jika dibandingkan dengan penjaja di pasar malam atau pasar bangunan sekitar Bandar Raya Kota Kinabalu, mereka dikenakan caj sebanyak RM3.00 sehari setiap lot berbanding dengan fi lesen hotel Kelas 2 iaitu sekitar RM2.65 sebilik sehari ataupun lesen hotel Kelas 3 iaitu sekitar RM1.30 sebilik sehari sekiranya bilik tersebut dihuni. Secara relatifnya kadar fi lesen hotel ini masih pada paras yang rendah.

Dewan Bandaraya Kota Kinabalu perlu menguatkuasakan mana-mana perundangan atau peraturan sebagaimana yang telah termaktub dalam undang-undang, ini termasuk membuat kutipan fi lesen. Hasil daripada kutipan fi lesen yang diperoleh akan dimanfaatkan dalam memantapkan penyampaian perkhidmatan yang lebih proaktif di sekitar bandar raya, sekali gus memastikan Bandar Raya Kota Kinabalu terus menjadi tarikan kepada lebih ramai pelancong domestik dan antarabangsa.

Sekian.