MESYUARAT PERTAMA PENGGAL KELIMA TAHUN
2025 DEWAN UNDANGAN NEGERI SABAH YANG
KEENAM BELAS
10, 14 – 17 APRIL 2025
Tuan Speaker,
Alhamdulillah, saya memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, Ucapan Dasar Kerajaan oleh Tuan Yang Terutama Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Musa Bin Haji Aman Yang Di-Pertua Negeri Sabah bersempena dengan Istiadat Pembukaan Penggal Kelima Tahun 2025 Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Keenam Belas telah dibentangkan dan dibahaskan dengan bernas di Dewan yang mulia ini.
Saya ingin merakamkan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam mengutarakan pelbagai isu di kawasan masing-masing dan saranan penambahbaikan dalam perbahasan Ucapan Dasar Kerajaan Tahun 2025. Isu- isu yang dibangkitkan serta saranan-saranan yang diutarakan akan diambil perhatian dengan sewajarnya demi memelihara kesejahteraan rakyat di negeri ini. Justeru, usaha semua pihak harus dilipatgandakan demi kemajuan dan kemakmuran negeri Sabah yang tercinta ini.
Dengan itu, izinkan saya menjawab beberapa isu berkaitan dengan Jabatan Ketua Menteri yang telah diutarakan perbahasan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat semasa perbahasan.
ISU SABAH FOREST INDUSTRIES (SFI) :
Tuan Speaker,
Isu berkaitan dengan Sabah Forest Industries (SFI) masih lagi dalam proses tindakan Mahkamah. Justeru, perkara ini tidak akan saya ulas dengan lanjut di Dewan yang mulia ini untuk mengelakkan subjudis kepada kes yang masih berjalan.
Isu-isu berkaitan SFI sudah beberapa kali diutarakan oleh Ahli -Ahli Yang Berhormat dan telah dijawab semasa beberapa sidang DUN sebelum ini.
Bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari Moyog berhubung isu tular pengangkutan kayu balak oleh Kapal Ocean Kaya 2500 di persempadanan Semporna, dimaklumkan bahawa kayu-kayu balak tersebut tidak ada kaitan dengan lesen-lesen di Sipitang, di mana tiada sebarang aktiviti pembalakan yang sedang berjalan di kawasan tersebut. Sebagai makluman lanjut, kayu-kayu balak yang diangkut oleh Kapal Ocean Kaya 2500 tersebut adalah merupakan kayu tanaman (Eucalyptus Pellita) milik Syarikat Sabah Softwoods Berhad dari daerah Kalabakan dan adalah untuk tujuan eksport ke Indonesia.Pengangkutan dan eksport kayu-kayu balak ini juga disahkan telah melalui prosedur yang sah.
ISU TENAGA DAN ELEKTRIK:
Tuan Speaker,
Isu bekalan elektrik juga merupakan isu hangat yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Yang Berhormat. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat serta Dewan yang mulia ini, mengikut maklumat dari Sabah Electricity, purata jidar simpanan (reserve margin) ketika ini adalah pada 12.4 peratus, dan dijangkakan purata ini dapat ditingkatkan ke 20 peratus menjelang Julai 2025.
Sebagai rekod, pada Mac 2025, kita mengalami hanya 4 kali catuan bekalan elektrik berbanding sebanyak 13 kali catuan bekalan elektrik pada Mac 2024, iaitu pengurangan sebanyak 69 peratus. Begitu juga pada April 2025, hanya sekali catuan bekalan berbanding 3 kali catuan pada April 2024 iaitu dengan pengurangan 67 peratus. Kebanyakkan load shedding/ catuan bekalan pada tahun 2025 adalah disebabkan kekurangan penjanaan yang berpunca daripada gangguan pembekalan gas oleh PETRONAS baru-baru ini. Selain itu, berlaku juga kehilangan tenaga elektrik yang mendadak di solar di Tadao, Kudat akibat cuaca awan tebal secara tiba-tiba serta gangguan di Pencawang Masuk Utama Segaliud pada April 2025, yang mana tindakan pantas pihak Grid System Operator dan Sabah Electricity telah berjaya meminimakan gangguan selama satu jam sahaja.
Pelbagai langkah-langkah mitigasi interim dan fast track untuk meningkatkan lagi jidar simpanan (reserve margin) penjanaan dan bagi menampung permintaan tambahan bekalan elektrik telah diluluskan oleh Majlis Tenaga Sabah yang telah bersidang sebanyak 3 kali pada tahun 2024.
ISU TANAH:
Tuan Speaker,
Kerajaan Negeri melalui Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) sentiasa peka dan berusaha sebaiknya untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan tanah di negeri Sabah. Ahli Yang Berhormat dari Senallang telah membangkitkan isu mengenai terdapat tanah-tanah anak negeri di Pulau Banggi dan kawasan pedalaman yang belum menpunyai geran tanah. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat serta Dewan yang mulia ini, Jabatan Tanah dan Ukur telah selesai menyediakan dan menyerahkan sebanyak 1,279 geran tanah bersyarat Native Title (NT) di Pulau Banggi. Selain itu, terdapat sebanyak 2,674 lot yang telah selesai diukur di kawasan Pulau Banggi yang melibatkan kawasan seluas 2,644 hektar, 1,562 lot dalam proses penyediaan geran draf, manakala 1,112 lot masih dalam proses penyemakan data ukur. Bilangan lot yang diukur melalui pengukuran biasa dan pengukuran PANTAS di daerah daerah bahagian pedalaman Sabah yang merangkumi daerah Keningau, Tambunan, Nabawan dan Tenom adalah berjumlah 36,803 lot yang telah diukur dengan keluasan 224,608 hektar (Dua Ratus Dua Puluh Empat Ribu Enam Ratus Lapan hektar) secara keseluruhannya telahpun dikeluarkan geran tanah NT.
Ahli Yang Berhormat dari Sekong pula membangkitkan isu berkenaan ketiadaan kampung yang diwartakan di kawasan DUN Sekong dalam tempoh 5 tahun sedangkan dasar Kerajaan adalah mewujudkan Perkampungan Anak Negeri yang tersusun. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Sekong serta Dewan yang mulia ini, berdasarkan rekod terkini, terdapat 16 permohonan tanah untuk tujuan simpanan perkampungan anak negeri dalam Dewan Undangan Negeri Sekong yang sedang dalam proses di peringkat daerah. Permohonan-permohonan ini akan diwartakan dengan segera setelah diproses lengkap dan dipertimbangkan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah.
Bagi menjawab isu Ahli Yang Berhormat dari Moyog berkenaan status permohonan perubahan GN.329-37 di Kampung Sugud Tinduzon daripada Rizab Padang Ragut kepada Tanah Perkampungan, Jabatan Tanah dan Ukur telah menerima permohonan tanah untuk tujuan Simpanan Kampung Sugud pada tahun 2023 dengan jumlah keluasan 56.18 ekar. Keseluruhan kawasan yang dipohon termasuk di dalam kawasan yang telah diwartakan melalui bilangan 329-1937 sebagai Tapak Simpanan Padang Ragut Anak Negeri Kampung Sugud. Ulasan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah juga telah diperolehi dan permohonan tanah tersebut akan dibentangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Penggunaan Tanah Daerah Penampang yang akan datang pada bulan Mei ini.
Ahli Yang Berhormat dari Kadamaian telah mencadangkan supaya mewujudkan peruntukan khas atau mengangkat kepada Kerajaan Persekutuan untuk keperluan ini di bawah Projek Khas Anak Negeri untuk membantu mengeluarkan geran-geran tanah bukan di bawah Program PANTAS. Jabatan Tanah dan Ukur akan meneliti dan mengkaji dengan lebih lanjut cadangan ini dan akan mengambil tindakan yang sesuai dan wajar.
Tuan Speaker,
Ahli Yang Berhormat dari Bugaya membangkitkan isu tentang permohonan tanah yang tertunggak dari tahun 1963 hingga 2025. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Bugaya serta Dewan yang mulia ini, penggunaan ICT dan pendigitalan dan pelaksanaan program PANTAS telahpun membantu mengurangkan tunggakan permohonan tanah berjumlah 313,543 (Tiga Ratus Tiga Belas Ribu Lima Ratus Empat Puluh Tiga) pada 31 Disember 2011 kepada jumlah 28,044 permohonan tanah sahaja yang masih dalam proses sehingga 31 Mac 2025 di seluruh Sabah iaitu penurunan tunggakan sebanyak 91 peratus. Pada ketika ini, terdapat beberapa isu-isu utama yang menyebabkan kelewatan memproses permohonan tanah yang perlu ditangani secara fizikal seperti, pertikaian tanah dan juga pertindihan kawasan yang dipohon. Di samping itu, pendaftaran permohonan tanah baharu pada setiap tahun juga menyumbang kepada bebanan kerja memproses permohonan tanah.
Manakala, dalam usaha menpercepatkan proses pindah milik tanah native title (NT), Jabatan Tanah dan Ukur telah membangunkan sistem pendigitalan Verify Land Title Information System (VLTIS) yang telah memendekkan proses kebenaran pertukaran nama untuk geran tanah bersyarat NT/FR kepada 10 hingga 40 hari tertakluk kepada Interpretation (Definition of Native) Ordinance Cap. 64, Seksyen 2(1)(a) hingga (d).
Tuan Speaker,
Isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari Nabawan adalah berhubung jumlah lot tanah skim Nabawan yang telah dikeluarkan geran dan status pengukuran PANTAS di Nabawan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat serta Dewan yang mulia ini, berdasarkan rekod terkini, sebanyak 285 lot dengan keluasan 768.66 ekar dalam Skim Nabawan telahpun dikeluarkan geran tanah. Pada masa ini, pengukuran PANTAS di Nabawan telahpun selesai dan sebanyak 484 geran PANTAS bersyarat Native Title (NT) telah diserahkan kepada pemilik. Manakala, sebanyak 335 geran lagi telah dicetak dan sedia untuk diserahkan kepada bakal pemilik. Semua pengukuran PANTAS dilaksanakan sepenuhnya oleh Jabatan Tanah dan Ukur dan pengukuran ini masih dapat dikendalikan dan diselesaikan pada tahun semasa selepas setiap program pengukuran diluluskan oleh pihak berkuasa Kerajaan Negeri. Walau bagaimanapun, Jabatan Tanah dan Ukur sedia untuk mengkaji cadangan Ahli Yang Berhormat untuk menggunakan khidmat Juruukur Berlesen jika terdapat keperluan di masa hadapan kelak.
Ahli Yang Berhormat dari Karambunai telah bertanyakan status permohonan tanah kampung di Kampung Norowot yang termasuk kawasan padang ragut dan Kampung Kinabakan (Tinabakan) yang termasuk dalam hutan simpan. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat dari Karambunai serta Dewan yang mulia ini, Kg. Norowot, Telipok telah dipohon melalui permohonan tanah PT.20-20010114 seluas 35 ekar untuk syarat warta. Walau bagaimanapun, permohonan tanah tersebut tidak dapat diproses disebabkan kawasan yang dipohon adalah termasuk dalam kawasan rizab padang ragut Anak Negeri Kampung Kayu Madang yang telah diwartakan melalui GN. 341-1955.
Terdapat juga permohonan tanah diterima untuk Kg. Norowot di daerah Tuaran melalui PT.20-07040447. Permohonan tanah tersebut telah disokong seluas 23 ekar untuk tujuan warta selepas dibentang dalam mesyuarat Jawatankuasa Pengunaan Tanah Daerah Tuaran Ke 1/2024 yang diadakan pada 14 Mac 2024. Untuk makluman Dewan yang mulia ini juga, kawasan yang dipohon adalah termasuk di dalam pengukuran Tapak Perkampungan Kampung Baru Payong, daerah Tuaran. Manakala, bagi Kampung Kinabakan (Tinabakan), mengikut rekod Jabatan Tanah dan Ukur, belum ada permohonan tanah yang diterima untuk tujuan pewartaan kampung tersebut. Kampung Tinabakan adalah di luar kawasan mana-mana rizab hutan simpan. Kampung Tinabakan sebenarnya adalah kawasan yang termasuk dalam kawasan KKIP. Penduduk Kampung ini pada dasarnya telah berpindah ke tanah rizab untuk Tapak Penempatan Semula Setinggan Tempatan di Kampung Boronuon, Telipok melalui warta GN.158-2012
Bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari Kuamut, permohonan pembinaan bangunan pejabat Jabatan Tanah dan Ukur di Tongod telah dimasukkan dalam permohonan Projek Pembangunan Negeri Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
ISU PERHUTANAN:
Tuan Speaker,
Bagi menjawab isu yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari Sekong serta Dewan Yang Mulia ini, setakat ini, Sabah telah mewartakan seluas 2,012,004.013 hektar (Dua Juta Dua Belas Ribu Empat Perpuluhan Kosong Satu Tiga Hektar) kawasan Totally Protected Area (TPA) ataupun lebih kurang 27.15 peratus daripada keluasan negeri Sabah. Pada prinsipnya, keluasan yang layak untuk tujuan kredit karbon adalah tertakluk kepada metodologi penilaian pasaran dan bergantung kepada elemen nilai tambah bagi projek karbon yang bakal dibangunkan. Untuk membenarkan perdagangan kredit karbon berasaskan hutan, ianya perlu mematuhi proses penilaian dan verifikasi yang diiktiraf oleh piawaian pasaran kredit karbon.
PENUTUP:
Tuan Speaker,
Kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat, mana-mana soalan yang tidak sempat dijawab akan dijawab secara bertulis.
Sebelum mengakhiri ucapan penggulungan ini, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat yang telah mengemukakan soalan dan isu-isu berkaitan dengan Jabatan Ketua Menteri. Dalam usaha merealisasikan matlamat dan hasrat Kerajaan Negeri untuk membawa negeri ini terus maju ke hadapan, saya menyeru kepada semua Ahli Yang Berhormat untuk bersama-sama memikul tanggungjawab dengan lebih komited dan dedikasi demi mencapai aspirasi rakyat negeri Sabah.
Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin, dan Kotobian Tadau Kaamatan kepada semua Ahli Yang Berhormat.
Saya mohon menyokong.
Sekian dan terima kasih.
Add Comment