KOTA KINABALU: Daerah Papar dipilih sebagai tuan rumah Pelancaran Perayaan Pesta Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang dijadualkan berlangsung pada 1 Mei depan.
Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam, berkata pemilihan itu dibuat mengambil kira kesiapsiagaan daerah berkenaan serta komitmen padu semua pihak dalam menjayakan sambutan perayaan tradisi terbesar rakyat Sabah.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Pertama Perayaan Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 yang berlangsung di Bilik Mesyuarat Kementerian Kerja Raya dan Utiliti (KKRU) Sabah, di sini, hari ini.
Mesyuarat berkenaan diadakan bagi membincangkan persiapan awal, perancangan program serta penyelarasan tugas melibatkan agensi kerajaan, pertubuhan kebudayaan dan jawatankuasa penganjur bagi memastikan sambutan Kaamatan tahun hadapan berjalan lancar dan teratur.
Joachim berkata, Perayaan Kaamatan bukan sekadar acara kebudayaan, sebaliknya merupakan platform penting dalam memelihara warisan, adat resam serta identiti masyarakat pelbagai etnik di Sabah.
Menurutnya, sambutan Kaamatan turut berperanan mengukuhkan perpaduan, keharmonian dan semangat kebersamaan dalam kalangan rakyat negeri ini.
“Kaamatan bukan hanya perayaan menuai hasil, tetapi simbol penghargaan terhadap alam, budaya serta nilai kehidupan yang diwarisi turun-temurun oleh masyarakat Sabah,” katanya.
Beliau turut menegaskan kepentingan kerjasama erat semua pihak bagi memastikan pelaksanaan program Kaamatan Peringkat Negeri Sabah 2026 dapat dilaksanakan secara inklusif, tersusun dan mencerminkan kekayaan budaya negeri ini.
Turut hadir pada mesyuarat berkenaan ialah Pembantu Menteri, Datuk Limus Jury; Setiausaha Tetap KKRU Sabah, Datuk Ridhwan Roger Linus; Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun; Bendahari KDCA, Datuk Joseph Paulus Lantip; pegawai-pegawai daerah; ketua-ketua jabatan serta ahli jawatankuasa penganjur yang lain.
–TAMAT

























Add Comment