KOTA KINABALU: Pelancaran Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 pada 30 Januari ini menandakan permulaan fasa baharu pembangunan negeri dengan penekanan terhadap kesinambungan dasar, kestabilan pentadbiran dan penyampaian hasil yang dapat dirasai secara langsung oleh rakyat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ceasar Mandela Malakun berkata, SMJ 2.0 menjadi isyarat jelas bahawa Sabah kini bersedia bergerak ke hadapan dengan hala tuju pembangunan yang lebih tersusun, berdaya saing dan berpaksikan kepentingan negeri.
Menurutnya, pendekatan baharu itu mencerminkan tekad kerajaan negeri untuk tidak lagi sekadar mengikut arus, sebaliknya membina masa depan Sabah berdasarkan kekuatan sendiri.
“Sabah tidak pernah kekurangan bakat, sumber dan potensi. Namun sebelum ini, kelemahan utama berpunca daripada ketidakkonsistenan dasar serta ketidakstabilan pentadbiran yang akhirnya menjejaskan pelaksanaan projek dan reformasi.
“Apabila politik sering berubah, keutamaan juga berubah. Dalam keadaan itu, rakyatlah yang akhirnya menanggung kesannya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata pengalaman lalu wajar dijadikan pengajaran, termasuk pembatalan model Project Delivery Partner bagi Projek Lebuhraya Pan Borneo oleh pentadbiran terdahulu yang menyebabkan kehilangan momentum pelaksanaan.
Selain itu, katanya, keputusan menamatkan secara tidak sah kontrak sembilan operator loji rawatan air di seluruh Sabah turut mengakibatkan kerajaan terpaksa menanggung pampasan dan ganti rugi berjumlah RM315 juta.
“Jumlah ini sebenarnya mampu membina lebih 3,000 unit Rumah Mesra SMJ untuk golongan miskin tegar.
“Inilah sebab mengapa kesinambungan dasar amat penting — supaya wang rakyat dilindungi dan keputusan tergesa-gesa yang akhirnya menghukum rakyat dapat dielakkan,” katanya.
Mandela berkata, SMJ 1.0 sebelum ini memberi tumpuan kepada usaha menstabilkan pentadbiran negeri, memulihkan keyakinan pelabur, memperkemas penyelarasan antara agensi serta mengukuhkan disiplin kewangan sebagai asas kepada pembangunan jangka panjang.
Menurutnya, SMJ 2.0 pula membawa Sabah ke fasa transformasi dengan pendekatan yang lebih berfokus kepada penambahbaikan kelemahan, pembinaan keperluan baharu serta penilaian prestasi berdasarkan hasil sebenar yang dapat dilihat dan dirasai rakyat.
“SMJ 2.0 berdiri atas prinsip ‘Rumah Kita, Kita Jaga’ — dengan kepentingan Sabah didahulukan, hak negeri dipertahankan dan pembangunan dibentuk oleh rakyat Sabah untuk masa depan Sabah,” katanya.
Beliau berkata, hala tuju SMJ 2.0 digerakkan menerusi empat teras utama iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United, yang merangkumi keperluan asas rakyat, kesiapsiagaan ekonomi masa depan, kesejahteraan sosial serta perpaduan dan kestabilan negeri.
Dalam pada itu, Mandela berkata SMJ 2.0 turut menjadi ujian sebenar kepada harapan generasi muda Sabah yang menginginkan peluang pekerjaan adil, kemahiran relevan, kos sara hidup lebih mampu serta keyakinan untuk membina masa depan di negeri sendiri.
Mengulas kepimpinan negeri, beliau menegaskan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berjaya mengekalkan kestabilan politik Sabah dalam suasana nasional yang mencabar.
“Kestabilan bukan matlamat akhir, tetapi asas kepada hasil yang nyata.
“SMJ 2.0 adalah usaha menukar kestabilan kepada momentum, dan momentum kepada penyampaian,” katanya.
Menurutnya, pelancaran SMJ 2.0 bukan sekadar memperkenalkan satu dokumen dasar, sebaliknya menetapkan haluan baharu pembangunan Sabah yang berteraskan maruah, dipacu prestasi serta diperkukuh dengan perpaduan rakyat.
–TAMAT

























Add Comment