Home » Sabah meterai MoU dengan Darul Ifta Mesir, perkasa kerjasama kefatwaan & ilmu Islam
Berita GRS Politik

Sabah meterai MoU dengan Darul Ifta Mesir, perkasa kerjasama kefatwaan & ilmu Islam

KAHERAH: Kerajaan Sabah mencatat sejarah baharu apabila memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dalam bidang kefatwaan dan pembangunan ilmu Islam bersama Darul Ifta Mesir, sebuah institusi kefatwaan berwibawa dan rujukan antarabangsa.

MoU berkenaan dimeterai oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Exco Agama Negeri Sabah, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif bersama Mufti Republik Arab Mesir, Prof. Dr. Nazir Mohamad Ayyad, di Pejabat Darul Ifta Mesir, di sini.

Kerjasama itu merangkumi bidang latihan dan kepakaran kefatwaan, pengembangan keilmuan Islam serta pengukuhan syiar Islam berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Arifin merakamkan penghargaan kepada Darul Ifta Mesir atas kesediaan merealisasikan perancangan kerjasama yang dirangka sejak beberapa tahun lalu, hasil usaha bersepadu pelbagai agensi termasuk MUIS, JHEAINS, Pejabat Mufti Sabah, Pejabat Peguam Besar Sabah, Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Yayasan Sabah.

“Alhamdulillah, usaha berterusan akhirnya membuahkan hasil dengan termeterainya MoU ini yang akan memperkasa pembangunan ilmu dan kepakaran Islam di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Prof. Dr. Nazir Mohamad Ayyad berharap kerjasama tersebut menjadi platform memperkukuh ukhuwah Islamiah serta memajukan bidang syariah, dakwah, penyelidikan dan keilmuan Islam melalui perkongsian kepakaran ilmuwan Darul Ifta Mesir.

Majlis turut dihadiri Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Hj Aliasnih; Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Panglima Haji Yahya Husin; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Hanafiah Kassim; Timbalan Duta Besar Malaysia ke Mesir; serta Mufti Sabah, Datuk Bungsu Aziz Japar.

–TAMAT