TAWAU: Karnival Kebolehpasaran Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK) peringkat daerah Tawau akan diadakan di Dewan Masyarakat Tawau, pada 6 dan 7 Disember depan,
Pengerusi penganjur, Mohd Rozailee Ruslan berkata karnival itu adalah aktiviti Unit Pendidikan Khas, Sektor Pembelajaran, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau dan berkonsepkan hari bertemu pelanggan.
Katanya, karnival itu juga menghimpunkan pelbagai pihak industri, institusi pendidikan tinggi awam, swasta, rakan strategik, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.
“Ia bertujuan menyerlahkan potensi dan bakat MBPK serta mewujudkan peluang pekerjaan secara mampan kepada golongan rentan seperti orang kelainan upaya (OKU).
“Selain itu, dapat mewujudkan jalinan dan jaringan dengan agensi kerajaan, swasta dan pemain industri,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.
Menurutnya, karnival ini bakal mengetengahkan pelbagai kemenjadian dan keberhasilan MBPK melalui pelbagai platform khususnya ke arah kerjaya.
“Ia juga membawakan pengisian yang memberi manfaat kepada MBPK dan membuka peluang kepada pihak berkepentingan untuk melihat sendiri kemampuan golongan berkenaan.
“Antara pengisiannya adalah pameran kemahiran, pameran pihak berkepentingan, pameran inovasi pendidikan khas, pertandingan kesenian dan forum kebolehpasaran,” katanya.
Katanya, diharapkan melalui karnival ini dapat meningkatkan kefahaman, pengetahuan masyarakat dan pihak berkepentingan tentang potensi MBPK.
“Saya mengharapkan ia dapat memberi pendedahan pendidikan kerjaya kepada MBPK mengenai peluang dan ruang kerjaya yang wujud di sekitar mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Rozailee mengalu-alukan orang ramai untuk hadir ke karnival ini yang diadakan selama dua hari itu nanti. oleh
–Hamzah Sanudin
Add Comment