SANDAKAN: Seramai 12 pemimpin akar umbi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting telah menerima watikah perlantikan ke jawatan masing-masing.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, Datuk George Hiew berkata, para penerima itu akan berkhidmat sebagai Ketua Kampung, Ketua Mahkamah Anak Negeri, Pegawai Mahkamah Anak Negeri dan Ketua Masyarakat Cina (Kapitan) di kawasan Karamunting.
“Pelantikan ini bukan sekadar penghormatan, tetapi tanggungjawab besar untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan lancar demi manfaat bersama.
“Kepada semua penerima pelantikan, saya menyeru anda semua untuk menjadi jambatan penghubung antara rakyat dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini, kelmarin.
Beliau menyeru dengan komitmen dan kerjasama, bersama-sama perlu bekerjasama mempercepatkan pembangunan kawasan sekali gus memperkukuh kesejahteraan penduduk setempat.
“Terima kasih kepada Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan, Farizal Setoh dan Ketua Daerah Mahkamah Anak Negeri Sandakan, OKK Zantapha Zainal Abidin atas kehadiran anda menyaksikan majlis ini.
“Bersama-sama, kita terus melangkah ke arah pembangunan yang lebih mampan untuk Karamunting,” katanya.
— Yap Siong Han
Add Comment