Home » Kebebasan beragama di Sabah terus dipertahankan – Hajiji
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Kebebasan beragama di Sabah terus dipertahankan – Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri sentiasa komited kepada kesaksamaan dan keadilan untuk membantu rakyat berbilang kaum serta agama di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ia termasuk memastikan kebebasan beragama seperti yang termaktub dalam perlembagaan, terus dipertahankan.

Katanya, menghormati kepercayaan antara satu sama lain akan terus menjadi tonggak kekuatan dan perpaduan di Sabah.

Menurutnya, kerajaan juga sentiasa menyokong sekolah dan badan keagamaan bukan Islam untuk memastikan keperluan mereka dipenuhi, termasuk terus memberikan bantuan untuk memastikan perpaduan, keharmonian kaum dan toleransi beragama yang kukuh terus diutamakan.

Beliau berkata, selain bantuan kepada sekolah, kerajaan negeri juga prihatin terhadap keperluan pembangunan dan pembaikan badan keagamaan bukan Islam di Sabah.

Hajiji berkata, tahun lalu (2022) kerajaan negeri telah menyalurkan sejumlah RM20.8 juta untuk gereja-gereja di Sabah, melibatkan 16 buah denominasi gereja, RM5.8 juta untuk 152 buah Tokong dan RM400,000 untuk 10 buah kuil Hindu/Sikh.

“Semoga dengan bantuan kewangan yang diagihkan atas keprihatinan kerajaan negeri ini, dapat sedikit sebanyak meringankan beban dalam membangun dan membaiki rumah ibadat bukan Islam di negeri ini.

“Saya percaya dengan pelbagai bantuan yang diberi ini, sudah pasti memberi keselesaan dan manfaat kepada rakyat bukan Islam di peringkat akar umbi,” katanya pada Majlis Makan Malam Sempena World Tua Pek Kong Festival ke-12 di Dewan Hakka Sabah pada Jumaat.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir.

Katanya, Festival Perarakan Dunia Tua Pek Kong Ke-12 yang diadakan di Sabah merupakan acara yang dinanti-nantikan oleh masyarakat Tionghoa di negeri ini dan seluruh dunia, terutamanya para penganut Tua Pek Kong yang memberi penghormatan kepada ‘Dewa Kemakmuran’.

Beliau yakin festival itu yang membawa bersama-sama pelbagai tradisi dan budaya turut memperkayakan kepelbagaian warisan rakyat Malaysia.

“Festival itu juga merupakan contoh yang baik tentang bagaimana kebudayaan boleh menyatukan kita, yang sekali gus akan membawa keharmonian dalam masyarakat yang berbilang kaum,” katanya.

Hajiji berkata, dalam mendepani dunia digital tanpa sempadan, amat penting rakyat terus memelihara dan memulihara warisan seni budaya dan tradisi nenek moyang agar ia tidak tenggelam dan pupus ditelan zaman.

“Sudah pasti menerusi festival ini, ia merupakan platform terbaik kepada masyarakat kita untuk melestarikan nilai-nilai tradisional yang telah diwarisi daripada generasi terdahulu sehingga generasi akan datang,” katanya.

Beliau juga yakin Festival Perarakan Dunia Tua Pek Kong 2023 turut membantu mempromosikan pelancongan di Sabah, kerana ramai penganut Tua Pek Kong menyertai festival ini.

“Sebelum kembali ke negara masing-masing, luangkanlah masa untuk menerokai keindahan dan keunikan negeri ini. Selain gunung yang merupakan puncak tertinggi di Malaysia dan Asia Tenggara, negeri ini juga mempunyai hutan hujan tropika yang mempesonakan dan pulau serta pantai yang cantik,” katanya.

— Yap Siong Han