Home » SM St Patrick berjaya cipta rekod MBOR keempat
Berita Gagasan Rakyat Politik

SM St Patrick berjaya cipta rekod MBOR keempat

SAMPAIKAN: Arifin (dua kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil MBOR, Mohamad Nazrul (tengah).

MEMBAKUT: Sekolah Menengah (SM) St Patrick Membakut sekali lagi mencatat sejarah dalam Malaysia Book Of Records (MBOR) hari ini setelah berjaya menghasilkan peta negeri Sabah terbesar menggunakan penutup botol.

Ini adalah kejayaan keempat sekolah berkenaan dalam MBOR.

 
Pada 2009, SM St Patrick mencatatkan rekod dalam MBOR dengan mencipta Jalur Gemilang terpanjang berukuran 196 meter panjang, 2.94 meter lebar menggunakan botol air mineral, manakala pada 2014 mencipta bendera Sabah terbesar berukuran 126 meter panjang dan 4.14 meter lebar menggunakan tin minuman.

Pada 2017, sekolah itu mencipta sejarah MBOR dengan anyaman bendera Sabah terbesar  menggunakan penutup tin minuman aluminium terbanyak berukuran 5.3 meter lebar dan 12.3 meter panjang.  

 
Rekod keempat yang dicipta semalam adalah Peta Negeri Sabah berukuran 31 meter panjang dan 10.2 meter lebar menggunakan penutup botol.

Ia mengambil masa kira-kira enam bulan disiapkan, bermula April hingga September.

Majlis pengisytiharan dirasmikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Arifin Arif, sambil disaksikan dan disahkan oleh pegawai MBOR, Mohamad Nazrul Hafizi Ahmad Fauzi.

Ketika ditemui, Pengetua SM St Patrick, Richard David, berkata sebanyak 308,160 biji penutup botol diperlukan bagi menghasilkan Peta Negeri Sabah berukuran 31 meter panjang dan 10.2 meter lebar.

Pelbagai cabaran dan liku dilalui sepanjang proses menghasilkan Peta Negeri Sabah menggunakan penutup botol, yang mana cabaran terbesar adalah untuk mendapatkan penutup botol bermula sejak 2019 bagi mengumpulkannya.

Selepas sasaran untuk mengumpulkan penutup botol tercapai, tahun berikutnya SM St Patrick mengemukakan permohonan yang pada ketika itu masih dalam fasa pandemik COVID-19 dan setelah memasuki ke fasa endemik COVID-19, akhirnya sekolah memulakan proses menghasilkan peta Sabah.

Sejak April , guru dan pelajar serta pelbagai pihak mengambil bahagian dengan sukarela secara gotong-royong melakukan aktiviti menebuk lubang, mengayam, mengecat sehingga terhasilnya peta Sabah terbesar.

Richard berkata sepanjang proses untuk mencapai rekod dalam MBOR, pendekatan yang dilaksanakan itu secara tidak langsung dapat meningkatkan nilai kerjasama berpasukan terutama dalam kalangan ibu bapa, guru, kakitangan sekolah dan pelajar.

Selain itu, ia juga berupaya menyemai budaya menghayati erti kemerdekaan serta usaha mengekalkan keharmonian masyarakat dalam kalangan warga sekolah dan masyarakat setempat.

“Ia juga dapat memupuk keharmonian, perpaduan, persefahaman dalam kalangan warga sekolah serta masyarakat setempat tanpa mengira kaum dan kepercayaan,” katanya.

Terdahulu, Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut dalam ucapannya memuji semangat warga sekolah yang bertungkus lumus menyiapkan peta Sabah terbesar walaupun berdepan dengan pelbagai liku dan cabaran.

Namun katanya, cabaran itulah yang menjadi pembakar semangat yang wajar dipuji dan diberikan penghargaan sehingga berjaya disiapkan malah melakar kejayaan apabila direkod dalam MBOR bagi kali keempat.

“Tahniah atas pencapaian kali keempat bagi SM St Patrick, yang kali ini berjaya menghasilkan peta negeri Sabah terbesar menggunakan penutup botol bersempena dengan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia.

“Usaha ini saya percaya dapat menyemarakkan lagi semangat cinta terhadap negara sekaligus memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar dan semua pihak terlibat. Kejayaan ini merupakan usaha sama yang wajar dicontohi,” katanya.

— Kenneddy Corlleus