Home » Kejayaan GRS menyeluruh, bukan retorik politik pembangkang
Berita GRS Politik

Kejayaan GRS menyeluruh, bukan retorik politik pembangkang

Aktivis politik Pro-Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Haji Nasrah

KOTA KINABALU:Pemerhati politik tempatan, Aksyah Haji Nasrah menegaskan tuduhan pembangkang yang melabelkan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai kerajaan gagal adalah tidak tepat, bersifat manipulatif dan hanya bertujuan mencetuskan persepsi negatif.

Aksyah, yang juga mantan Timbalan Ketua Badan Pimpinan Negeri BERSATU Sabah, berkata ukuran kejayaan sesebuah kerajaan perlu dilihat secara menyeluruh, bukan berdasarkan segmen berpilih seperti infrastruktur atau pertumbuhan ekonomi semata-mata.

“Jika hanya menilai berdasarkan KDNK, ia tidak mencerminkan keadaan sebenar kerana angka itu turut dipengaruhi faktor global. Realitinya, hasil negeri meningkat saban tahun hingga hampir RM7 bilion – pencapaian tertinggi dalam sejarah Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini,semalam.

Warisan Manipulasi Fakta

Menurut beliau, Parti Warisan dan pemimpinnya sering menggunakan isu infrastruktur dan kedudukan ekonomi Sabah untuk menuduh GRS gagal. Antaranya dakwaan Sabah tidak lagi berada dalam kelompok enam penyumbang utama ekonomi negara serta tuduhan ADUN Sri Tanjong, Justin Wong, bahawa Hajiji gagal mengangkat ekonomi negeri.

“Dakwaan seperti itu tidak adil. Ketika GRS mengambil alih pada 2020, Sabah berada dalam keadaan kritikal akibat pandemik. Namun dalam tempoh singkat, kerajaan berjaya memulihkan ekonomi dan mengembalikan kestabilan,” katanya.

Fokus Pembangunan Jangka Panjang

Aksyah berkata Hajiji turut membuka laluan baharu melalui Dasar Ekonomi Biru, sejajar kekuatan Sabah sebagai negeri maritim, selain merangka hala tuju jangka panjang melalui pelaksanaan Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Inilah ciri pemimpin berwawasan jauh – bukan sahaja menyelesaikan isu mendesak tetapi juga merangka dasar untuk menjadikan Sabah lebih berdaya saing,” ujarnya.

Beliau menambah, isu infrastruktur yang sering dijadikan modal politik pembangkang merupakan masalah berakar umbi sejak puluhan tahun lalu.

“Sejak bila infrastruktur Sabah berada dalam keadaan sempurna? Masalah air, elektrik dan jalan raya bukan bermula pada era GRS. Malah, projek besar seperti Pan Borneo tergendala akibat keputusan kerajaan terdahulu. Kini, GRS berjaya memulihkan projek itu,” katanya.

Manfaat Terus Kepada Rakyat

Selain ekonomi dan infrastruktur, Aksyah menegaskan kejayaan GRS turut dilihat melalui pelbagai inisiatif langsung untuk rakyat termasuk program Rumah Mesra SMJ, Skim Insurans, bantuan SYUKUR serta peningkatan biasiswa pendidikan.

“Ini ukuran penting kejayaan kerajaan. Rakyat sendiri telah menikmati hasilnya,” katanya sambil menempelak gaya politik pembangkang yang menurutnya hanya menumpukan pada kelemahan tanpa menawarkan penyelesaian.

Rayu Terus Sokong GRS

Beliau turut mengingatkan rakyat supaya berhati-hati dengan janji parti nasional yang kononnya mampu menyelesaikan masalah Sabah dalam masa tiga tahun.

“Mengapa tiga tahun? Kerana mereka tahu projek yang sedang berjalan kini akan menampakkan hasil dalam tempoh itu. Inilah politik ‘lembu punya susu, sapi dapat nama’,” katanya.

Sehubungan itu, Aksyah merayu agar rakyat terus memberi sokongan dan mandat baharu kepada GRS demi kesinambungan pembangunan.

“GRS adalah kerajaan setahun jagung tetapi hasilnya jauh lebih baik berbanding parti yang memerintah lebih tiga dekad. Sabah memang kita punya, maka kitalah yang harus menjaganya. Jangan serahkan lagi kepada tangan yang salah,” tegasnya.

— TAMAT