KOTA KINABALU: Keputusan kerajaan Persekutuan memberikan kemasukan 30 hari tanpa visa ke Malaysia untuk China dan India mulai 1 Disember ini disifatkan sebagai satu petanda baik dengan sasaran sebanyak 2.2 juta ketibaan pelancong ke Sabah tahun ini.
Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu dan setakat ini, Sabah sudah mencapai 85.6 peratus daripada sasaran berkenaan.
“Saya ada menyatakan industri pelancongan kini kembali normal, dan kerajaan negeri turut melancarkan kempen pemulihan pelancongan untuk menarik pelancong kembali ke Sabah.
“Sehingga kini, Sabah dihubungkan dengan lapan bandar utama di China iaitu Beijing, Shanghai, Shenzen, Guangzhou, Hangzhou, Wuhan, Macau, dan Hong Kong dengan 63 penerbangan mingguan dan kapasiti tempat duduk sebanyak 11,360,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata, rekod dari Januari hingga September tahun ini menunjukkan jumlah ketibaan dari China sebanyak 45,801 orang berbanding hanya 4,162 ketibaan bagi tempoh sama tahun lepas.
Menurutnya, bagi ketibaan warga India ke Sabah, terdapat peningkatan dengan 4,176 jumlah ketibaan sehingga September tahun ini berbanding 2,734 ketibaan bagi tempoh yang sama tahun lepas.
Hajiji mengulangi dengan pengenalan dasar kemasukan 30 hari tanpa visa untuk pelawat dari dua negara paling ramai penduduk di dunia ini, ia akan membantu dalam mempercepatkan proses pemulihan bagi sektor pelancongan.
Sehubungan itu beliau berharap dapat melihat lebih banyak perhubungan secara udara dilaksanakan untuk meningkatkan ketibaan pelawat ke Sabah.
Sebagai maklum balas kepada pengumuman kerajaan Malaysia itu, China dilapor memutuskan untuk menawarkan kemasukan tanpa visa kepada pelancong yang memegang pasport biasa dari Malaysia, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Sepanyol bermula 1 Disember 2023 hingga 30 November 2024.
Jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning berkata, rakyat Malaysia dan negara Eropah lain boleh memasuki China tanpa visa yang tinggal tidak lebih daripada 15 hari untuk urusan perniagaan, pelancongan, lawatan keluarga dan transit.
— TAMAT
Add Comment