KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, menggesa kerajaan memberikan sokongan menyeluruh bagi memperkasa industri koko di negara ini, termasuk menjadikan Sabah sebagai hab utama koko.
Ketika membahaskan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Rabu, beliau mencadangkan insentif khas kepada pekebun koko, pelaburan dalam teknologi pemprosesan tempatan, serta pembinaan pusat penyelidikan dan pemprosesan berteknologi tinggi.
Matbali, yang juga Pengerusi Lembaga Koko Malaysia (LKM), berkata sektor itu berpotensi besar menyumbang kepada pelancongan makanan, memperkasa usahawan IKS dan mewujudkan peluang pekerjaan tempatan.
“Pelaburan besar dalam koko bukan sekadar strategi pertanian, tetapi langkah ekonomi penting untuk meningkatkan eksport dan pendapatan pekebun, selain merangsang industri berasaskan coklat tempatan,” katanya.
Beliau turut menggesa kerajaan meningkatkan peruntukan bagi penanaman semula pokok sawit tua sekurang-kurangnya empat kali ganda dalam tempoh lima tahun, memandangkan pokok berusia lebih 25 tahun tidak lagi produktif dan menjejaskan pendapatan pekebun kecil.
Mengenai industri getah, Matbali menyeru pelaksanaan pelan pemulihan nasional yang merangkumi skim galakan penorehan semula dan kerjasama pekebun kecil dengan industri hiliran. Menurutnya, walaupun ladang getah masih wujud, banyak terbengkalai akibat harga rendah dan kekurangan insentif, sedangkan negara kini mengimport hampir RM7 bilion getah setahun.
Dalam isu kekurangan pekerja ladang, beliau mencadangkan mekanisme pengambilan pekerja asing yang lebih cekap dan telus, di samping menawarkan insentif dan latihan kepada warga tempatan.
Katanya, dasar pengambilan buruh asing juga perlu disemak semula supaya tidak membebankan majikan sambil memastikan kebajikan pekerja terpelihara.
— TAMAT

























Add Comment