Home » Sipitang Perlu Kompleks Kesihatan Moden : Matbali
Berita GRS Politik

Sipitang Perlu Kompleks Kesihatan Moden : Matbali

WATIKAH: Matbali (dua kiri) menerima Watikah Pelantikan Friends of Ministry (FOM) Kementerian Kerja Raya (KKR) daripada Menteri KKR, Dato Sri Alexander Nanta Linggi (dua kanan) di Bangunan Pentadbiran Parlimen Malaysia pada Selasa.

KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, mahu sebuah Kompleks Kesihatan moden dan canggih dibina di daerah itu bagi memenuhi keperluan lebih 35,000 penduduk.

Beliau berkata cadangan itu wajar dimasukkan dalam projek utama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), mengambil kira keluasan daerah Sipitang yang mencecah 2,437 kilometer persegi – hampir menyamai Negeri Melaka – serta lokasinya yang bersempadan dengan Labuan dan Sarawak, selain menjadi laluan antarabangsa ke Brunei dan Kalimantan.

Menurutnya, kompleks itu kelak dapat menjadi pusat rujukan bagi Klinik Kesihatan di Sindumin (19.6km), Mendulong, Meligan dan Long Pasia (115km), sekali gus mengurangkan keperluan membawa pesakit ke Beaufort atau Kota Kinabalu.

Ketika membahas RMK13 di Dewan Rakyat pada Selasa, Matbali turut menegur kelewatan projek Pan Borneo jajaran Sipitang–Beaufort yang disifatkannya tidak diselia dengan baik.

Katanya, kelewatan itu bukan sahaja menyusahkan pengguna, malah menyumbang kepada kemalangan jalan raya, dengan 16 kes direkodkan dari Januari hingga Julai tahun ini berbanding 23 kes sepanjang tahun lalu.

Beliau juga membangkitkan projek naik taraf Jalan Mentulud dan Jalan Mendulong yang belum bermula walaupun diluluskan, selain projek Jalan Kampung Mendulong–Kampung Meligan yang masih tiada perkembangan.

Dalam isu bekalan elektrik, Matbali berkata kampung-kampung pedalaman seperti Long Pasia, Long Mio, Meligan, Ulu Bole dan Iburu masih bergantung pada janakuasa.

Beliau turut meminta Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) meneliti isu “tiga serangkai” di Sipitang – banjir, hakisan tebing sungai dan mendapan muara sungai.

Katanya, banjir sering melanda Pekan Sindumin, terutama di Kg Skim Sindumin dan Tanjung Nipis, dengan paras air mencecah 1.5 meter akibat limpahan Sungai Mengalong. Hakisan tebing pula semakin serius di beberapa kawasan sepanjang Sungai Padas di Beaufort, manakala mendapan di muara Sungai Sipitang menjadikan sungai cetek dan sempit, menyukarkan pelayaran dan meningkatkan risiko banjir.

— TAMAT