Home » Kerajaan negeri akan mempertimbang tingkatkan elaun kakitangan UPPM – Hajiji
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Kerajaan negeri akan mempertimbang tingkatkan elaun kakitangan UPPM – Hajiji

Hajiji berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada 73 Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) sempena Hari Keluarga UPPM (Pejabat Ketua Menteri) di sini, semalam.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan mempertimbangkan untuk meningkatlam elaun bulanan kakitangan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM).

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, kerajaan negeri akan meneliti perkara demikian dan menyeru semua kakitangan UPPM perlu berkerja keras untuk merealisasikan agenda pembangunan Sabah.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat kepada 73 Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) sempena Hari Keluarga UPPM (Pejabat Ketua Menteri) di sini, semalam.

Hajiji menyeru agar semua PPM mesti menunjukkan tahap profesional dan disiplin tinggi ketika menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

Katanya, pada era teknologi moden ini, pelbagai laporan dan maklumat boleh dikongsi serta didapati dengan pantas.

Oleh itu katanya, semua PPM perlu lebih kreatif dan inovatif memperkasakan cara kerja bagi memastikan keberkesanan serta kelancaran dalam sistem penyampaian.

“Pada masa sama, anda harus memegang teguh dengan prinsip integriti dan ketelusan. Saya berharap masalah serta keperluan rakyat di kawasan masing-masing dapat diselesaikan.

“Lantikan anda bukan satu keistimewaan, sebaliknya mempunyai peranan penting serta tanggungjawab besar untuk dipikul,” katanya.

Hajiji juga mengingatkan semula agar semua PPM perlu mengadakan kerjasama erat dengan wakil rakyat di kawasan masing-masing agar mampu menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di peringkat akar umbi.

Katanya, usaha itu akan memastikan semua rakyat boleh menikmati perkhidmatan serta kemudahan yang disediakan kerajaan tanpa dikecualikan.

Menurutnya, sebagai jambatan diantara kerajaan dan rakyat di akar umbi. UPPM dan PPM perlu lebih proaktif dalam menyebarkan maklumat dan menyelesaikan masalah yang boleh meningkatkan imej serta kualiti kerja masing-masing.

Hajiji berkata, PPM harus pandai menyebarkan dasar kerajaan khususnya pembangunan yang diusahakan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) selepas memerintah Sabah hampir tiga tahun.

Beliau menyeru semua PPM sentiasa turun padang untuk mendengar dan berkhidmat kepada masyarakat.

“Sebagai kakitangan UPPM, anda perlu peka dan mengambil tahu isu-isu terkini dan bertindak pantas mengambil maklum mengenai aduan daripada rakyat, anda harus memberikan perhatian serius kepada perkara ini,” tegasnya.

Hajiji berharap semua kakitangan UPPM mampu melaksanakan tanggungjawab masing-masing yang diamanahkan kepada mereka, sekali gus dengan berusaha mencapai asipirasi pembangunan kerajaan menerusi Hala Tuju Pembangunan Sabah Maju Jaya.

“UPPM di setiap kawasan perlu memastikan program pembangunan dapat dilaksanakan dengan jayanya sekali gus sampai kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Hajiji berkata, Hari Keluarga itu merupakan platform untuk memperkasakan kerjasama dan hormat diantara satu sama lain serta menyemai nilai-nilai murni dalam kalangan kakitangan UPPM.

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment