TAMPARULI: Kerajaan Negeri Sabah komited memastikan tiada anak Sabah, khususnya daripada golongan B40, tercicir daripada memperoleh akses pendidikan yang berkualiti.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, pelbagai inisiatif pendidikan telah dilaksanakan di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0, termasuk bantuan persekolahan dan pemberian biasiswa bagi menyokong proses pembelajaran serta merapatkan jurang pendidikan antara bandar dan luar bandar.
Menurutnya, komitmen berkenaan akan diteruskan dan diperkukuhkan menerusi pelaksanaan Sabah Maju Jaya 2.0.
“Inisiatif bantuan pendidikan ini akan terus diberi keutamaan di bawah pelan pembangunan SMJ 2.0 bagi memastikan setiap anak Sabah mempunyai peluang yang adil untuk berjaya,” katanya.
Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai, pada majlis penyampaian cermin mata kepada murid sekolah anjuran Sabah Electricity menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Sekolah Kebangsaan Tamparuli, di sini, semalam.

Hajiji turut menegaskan bahawa semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri perlu memainkan peranan lebih aktif dalam membantu golongan memerlukan, khususnya kumpulan B40.
“Sumbangan kepada masyarakat bukan sekadar satu pilihan, sebaliknya merupakan tanggungjawab yang selari dengan mandat penubuhan GLC.
“Saya mahu setiap GLC terus melaksanakan program CSR yang berimpak tinggi, berfokus dan mampan, khususnya dalam bidang pendidikan, kebajikan serta pembangunan modal insan rakyat Sabah,” katanya.
Beliau berkata, setiap inisiatif yang dilaksanakan juga akan dipantau secara telus dan sistematik, dengan laporan berkala dikemukakan kepada kerajaan negeri bagi memastikan keberkesanan serta akauntabiliti program.
“Pendekatan holistik yang mengimbangi prestasi operasi, kelestarian kewangan dan tanggungjawab sosial adalah sejajar dengan aspirasi Kerajaan Negeri di bawah pelan pembangunan Sabah Maju Jaya 2.0,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Menteri turut menasihati para murid yang menerima sumbangan agar menjadikan bantuan berkenaan sebagai pembakar semangat untuk terus berusaha dan kekal fokus dalam pelajaran demi masa depan yang lebih cerah.
–TAMAT

























Add Comment