KINABATANGAN: Konsep kerajaan perpaduan yang dibentuk di peringkat negeri terbukti memberi kelebihan besar kepada kemenangan calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Sabtu lalu.
Naib Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Masiung Banah berkata, penyatuan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Pakatan Harapan (PH) dan UPKO telah menyumbang kepada peningkatan majoriti ketara bagi kedua-dua calon BN di kawasan berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Kumpulan SEDCO ditemui sejurus pengumuman rasmi keputusan PRK kira-kira jam 10.30 malam.
Masiung yang berkampung selama empat hari di Kuamut serta membantu kempen di DUN Lamag turut merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan jentera GRS yang bertungkus-lumus sepanjang tempoh kempen.
Keputusan PRK menyaksikan calon BN Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Mokhtar memperoleh 19,852 undi dengan majoriti 14,214, menewaskan calon Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman (5,638 undi) dan calon Bebas, Goldam H Salangah (946 undi).
Sementara itu, calon BN bagi DUN Lamag, Mohd Ismail Ayub yang bertanding satu lawan satu menang dengan 7,269 undi dan majoriti 5,681, menewaskan calon Warisan, Mazilawati Abdul Malek yang memperoleh 1,588 undi.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Datuk Seri Bung Mokhtar Radin mempertahankan Parlimen Kinabatangan dengan majoriti 4,330 undi, manakala pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) beliau mencatat kemenangan tipis dengan majoriti 153 undi dalam saingan lima penjuru.
Menurut Masiung, keputusan PRK kali ini membuktikan bahawa penyatuan gabungan membawa pendekatan menang-menang demi kestabilan politik.
“Roda politik sentiasa berputar. Penyatuan ini jelas menjurus kepada kematangan politik dan kestabilan yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.
Beliau turut menyifatkan kempen PRK Kinabatangan dan DUN Lamag sebagai satu kolaborasi erat antara GRS, BN, UPKO dan PH yang mencerminkan tahap politik yang matang.
“Kami dalam GRS telah melakukan yang termampu untuk membantu kemenangan bergaya BN selepas menerima arahan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Kita berharap parti-parti berpusat di Semenanjung menghormati kerjasama ini, memandangkan kemampuan mereka di Sabah sudah teruji dalam PRN17 yang lalu,” katanya.

























Add Comment