PAPAR: Pelancong dari Brunei Darussalam kini boleh mendapatkan bekalan petrol RON97 di stesen Petronas Kimanis mulai Sabtu.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, hasil perbincangan pihaknya dengan pihak PETRONAS Dagangan Berhad (PDB), pendekatan yang diputuskan adalah untuk melaksanakan ujian perintis untuk menyediakan bekalan petrol RON97 di stesen Petronas Kimanis.
“KPDN telah menerima aduan berhubung kesukaran mendapatkan bekalan petrol RON97di bahagian Pantai Barat Selatan Sabah.
“Ini meliputi aduan penduduk di sekitar kawasan berkaitan dan para pelancong dan pelawat dari negara Brunei Darussalam yang menggunakan pengangkutan darat.
“Stesen ini didapati sebagai lokasi yang sesuai untuk menyokong laluan Bandar Seri Begawan ke Kota Kinabalu dengan mengambil kira faktor jarak pemanduan 205 km dari Bandar Seri Begawan serta kedudukannya yang strategik di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo,” katanya.
Menurutnya, ujian rintis itu akan mengguna pakai Mini Portable Container System (PCS) dengan kapasiti 5,000 liter digunakan dalam tempoh percubaan sebelum pelaksanaan sepenuhnya.
“Pendekatan ini bertujuan menilai keberkesanan sistem penyimpanan dan penjualan bahan api dalam memenuhi permintaan pengguna, di samping meminimumkan kesan kewangan sekiranya jualan bahan api tidak mencapai tahap yang diunjurkan,” katanya.
Selain itu katanya, tempoh percubaan terbabit juga membolehkan pemantauan dan analisis terperinci terhadap aspek operasi termasuk kestabilan bekalan, corak permintaan pelanggan serta keperluan logistik penghantaran bagi memastikan pelaksanaan yang lebih efisien, mampan dan menguntungkan dalam jangka panjang.
“Hal ini kerana bekalan petrol RON97 terhampir hanya boleh diperolehi di beberapa stesen minyak Petronas seperti di Lintas-Kepayan, Jalan Mat Salleh, Penampang dan lokasi-lokasi lain.
“Daripada sejumlah 260 stesen minyak di seluruh Sabah, hanya 37 stesen yang membekalkan bahan api petrol RON97.
“Banyak stesen minyak tidak menyediakan bekalan petrol RON97 disebabkan faktor permintaan yang rendah yang memberikan implikasi kos kerugian.
“Masalah utama dihadapi oleh pelawat dan pelancong dari Brunei kerana dasar semasa kerajaan menetapkan kenderaan asing hanya dibenarkan mengisi petrol RON97 iaitu bahan api tidak bersubsidi yang dijual pada harga pasaran,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan rekod Jabatan Kastam Diraja Malaysia, sebanyak 156,000 kenderaan dengan pendaftaran Brunei telah memasuki Malaysia bagi tempoh 2023 sehingga 2024.
Sehubungan itu, KPDN mempertimbangkan langkah bersesuaian untuk memastikan ketiadaan bekalan petrol RON97 tidak menjejaskan jumlah pelancong dan pelawat dari Brunei sekali gus membolehkan bekalan tersedia untuk rakyat tempatan di kawasan sekitar yang memilih untuk menggunakan bahan api itu.
Laluan Bandar Seri Begawan ke Kota Kinabalu akan merentasi Daerah Limbang dan Lawas di Sarawak serta Sipitang, Beaufort, Kimanis dan Papar di Sabah.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Turun Padang dan Pelancaran Produk RON97 di Stesen Petronas AJ Petromart Sdn. Bhd Kimanis dekat sini, pada Sabtu.
Hadir sama, Ketua Pengarah KPDN, Datuk Azman Adam, Rakan Niaga AJ Petromart, Josephine Lim dan Ketua Pegawai Operasi PETRONAS Dagangan Berhad Azureen Azita Abdullah.
— TAMAT
Add Comment