TAWAU: Kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) untuk terus memperkukuhkan pemberdayaan dan pemerkasaan potensi wakaf di Sabah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Mohd Arifin Arif berkata, MUIS diminta untuk terus bekerjasama dengan pemain industri wakaf daripada pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri.
Selain itu, katanya, perlunya ada keterlibatan bersama dengan entiti perniagaan korporat yang ingin menyumbang bagi menjadikan Sabah sebagai negeri mesra dan celik ibadah wakaf menjelang tahun 2030.
“Saya berharap masyarakat di negeri ini terus membantu usaha yang dijalankan oleh pihak MUIS dengan menyebarluaskan kefahaman dan kesedaran ibadah wakaf ini.
“Wakaf perlu terus dipertingkatkan dan bertambah dari semasa ke semasa demi kelestarian maslahah serta manfaatnya kepada masyarakat khususnya umat Islam di Sabah yang kita cintai ini,” katanya.
Beliau yang juga Exco Pendidikan dan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah berkata demikian ketika ditemui dalam majlis perasmian bangunan wakaf Yayasan Infaq ANGKASA (YIA)-MUIS, di sini, hari ini.
Menurutnya, kerajaan negeri menzahirkan tahniah kepada Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) menerusi YIA kerana mengambil tindakan segera untuk menyokong inisiatif wakaf ini.
“Kita dapat melihat YIA telah mengadakan manifestasi hasrat pembangunan hartanah wakaf di Sabah, dengan termeterainya usahasama pembelian bangunan komersial empat tingkat bernilai RM2,783,551.
“Saya berharap agar industri wakaf ini dapat terus diperkukuhkan mengikut acuan masa kini serta belandaskan hukum syarak,” katanya.
Sementara itu, Presiden ANGKASA, Datuk Seri Dr Abdul Fattah berkata, penyerahan bangunan ini adalah bukti komitmen ANGKASA dalam memberi nilai tambah kepada pelaksanaan Pelan Induk Wakaf Nasional (PIWN).
Katanya, YIA proaktif mengambil peluang dalam pembangunan aset wakaf sehingga mendapat pengiktirafan selaku Pentadbir Aset Wakaf oleh MUIS dan Majlis Agama Islam di negeri lain bagi menggerakkan amalan wakaf secara profesional mengikut syarak.
“Sudah tiba masanya badan korporat lain dengan kerjasama Masjis Agama Islam Negeri menjadikan wakaf sebagai solusi memperkukuhkan aktiviti komuniti setempat.
“Kerajaan juga diharap dapat memberi pelbagai galakan insentif khususnya pengecualian cukai kepada organisasi yang terlibat,” katanya.
Abdul Fattah berkata, sejak penubuhannya pada 9 Julai 2021 lalu, YIA berjaya menyalurkan dana wakaf hampir RM13 juta bagi pembangunan ekonomi rakyat dalam pelbagai sektor pembangunan di Malaysia.
Turut hadir, Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung, Datuk Hamild Awang; Mufti Selangor, Datuk Setia Anhar Haji Opir dan Timbalan Yang Dipertua MUIS, Ustaz Malai Ali Malai Ahmad.
— Hamzah Sanudin
Add Comment