Home » Kerajaan Negeri tubuh Majlis Penasihat Reformasi Undang-Undang Sabah
Berita GRS Politik

Kerajaan Negeri tubuh Majlis Penasihat Reformasi Undang-Undang Sabah

PELANTIKAN: Hajiji (tengah), Safar Untong (kiri) dan Brenndon Soh (empat kanan) bersama David Wong (empat kiri) serta ahli-ahli SLRAC selepas menerima surat pelantikan mereka.

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah menubuhkan Majlis Penasihat Reformasi Undang Undang Sabah (SLRAC) sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menegakkan  kedaulatan undang-undang, memperkukuh tadbir urus dan mempromosi reformasi  perundangan di Sabah. 

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata penubuhan SLRAC  merupakan satu inisiatif penting yang bertujuan untuk memodenkan dan menambah baik  kerangka perundangan di Sabah bagi memenuhi keperluan rakyatnya dengan lebih  berkesan. 

“Kerajaan Negeri mengalu-alukan pandangan dan syor berharga daripada SLRAC, yang  dijangka menjadi asas kepada reformasi undang-undang yang bermakna dan berkekalan di  Sabah,” kata beliau.  

Kata Ketua Menteri, penubuhan majlis ini juga selaras dengan visinya untuk menjadikan  Sabah sebagai sebuah negeri yang progresif, inklusif dan berpandangan jauh ke hadapan,  di mana pembangunan undang-undang bergerak seiring dengan kemajuan sosial dan  ekonomi, sambil memelihara warisan unik negeri ini. 

Hajiji berkata demikian selepas menyampaikan surat pelantikan kepada ahli-ahli SLRAC  yang diketuai oleh Pengerusinya, Tan Sri David Wong Dak Wah, bekas Ketua Hakim Sabah  dan Sarawak, di Menara Kinabalu hari ini. 

Ahli-ahli lain dalam Majlis tersebut ialah Datuk Daniel Tan Jwee Peng, Dr David Fung Yin  Kee, Datuk John Sikayun, Datuk Roger Chin Ken Fong, dan Shakinur Ain Karama,  manakala Janice Junie Lim akan bertindak sebagai Setiausaha. 

SLRAC merupakan sebuah badan penasihat bebas yang ditugaskan untuk menjalankan  kajian menyeluruh terhadap undang-undang negeri sedia ada dan mencadangkan  reformasi khusus bagi meningkatkan kejelasan, kecekapan, keadilan dan kesesuaian  undang-undang. 

Majlis ini juga akan memastikan agar reformasi yang dicadangkan akan berpegang teguh  kepada nilai, adat dan realiti sosio-budaya yang unik di Sabah. 

Yang turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong dan  Peguam Besar Negeri, Datuk Brenndon Keith Soh. 

–Tamat