Home » Kerajaan Perpaduan Persekutuan tidak pernah tolak isu berkaitan MA63: Ketua Menteri
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Blok Borneo Politik

Kerajaan Perpaduan Persekutuan tidak pernah tolak isu berkaitan MA63: Ketua Menteri

Kelihatan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sedang berbual bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg sebelum menghadiri mesyuarat tidak lama dulu. Menurut beliau, Kerajaan Perpaduan sangat prihatin terhadap tuntutan Sabah dan Sarawak serta komited untuk melaksanakannya.

KOTA KINABALU: Kerajaan Perpaduan Persekutuan tidak pernah menolak sebarang isu yang dibawa oleh Sabah berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Haji Noor.

Ini termasuk tuntutan Sabah, terutamanya 40 peratus hasil bersih yang sepatutnya dikembalikan kepada Sabah setiap tahun.

“Kerajaan Persekutuan tidak akan sekali-kali menolak (dakwaan ini), kerana saya dalam jawatankuasa induk khas menangani perkara MA63 melibatkan Sabah dan Sarawak.

“Saya telah menyuara dan mengesahkan pendirian Kerajaan Negeri pada mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 untuk terus menuntut hak kepada 40 peratus hasil, seperti yang dinyatakan dalam MA63.

“Kerajaan Negeri akan pastikan keperluan dan kepentingan kita diutamakan dan diperjuangkan,” katanya kepada wakil-wakil media dari Daily Express sempena tahun ketiga memegang jawatan Ketua Menteri.

Beliau berkata sesetengah pihak berpendapat bahawa Persekutuan tidak serius dalam menangani isu MA63, terutamanya apabila 12 Ahli Parlimen Pakatan Harapan Sabah menarik balik Saman Pemula (tindakan mahkamah) mereka pada 29 September.

“Tetapi mereka menarik balik kerana Kerajaan Persekutuan memberi jaminan akan menyelesaikan isu 40 peratus dan perkara berkaitan MA63.

“Menurut Timbalan Perdana Menteri II Datuk Seri Fadillah Yusof, ia akan diselesaikan dalam tempoh setahun kerana mereka (Pakatan Harapan Sabah) adalah sebahagian daripada kerajaan dan menyaman kerajaan adalah tidak wajar.”

Hajiji berkata jaminan itu membuktikan Kerajaan Perpaduan sangat prihatin terhadap tuntutan Sabah dan Sarawak serta komited untuk melaksanakannya.

Beliau berkata, perkara paling penting ialah Sabah mempunyai jaminan bahawa mereka (Persekutuan) akan melaksanakan dan menyelesaikan perkara itu dalam tempoh setahun.

“Tetapi berapa banyak yang akan diberikan kita tidak tahu. Kita tunggu formula (bayaran agihan).

“Sebenarnya Perdana Menteri sangat adil. Di hadapan semua Menteri malah di Kuching semasa sambutan Hari Malaysia, beliau (PM) kata perjanjian ini (MA63) akan dilaksanakan.

“Kita kena bawa ke Parlimen tetapi sekarang dengan senario dan situasi politik semasa, ia agak lewat.

“Mereka menggunakan perintah darurat pada 1969 tetapi apabila ia (darurat) tiada lagi, perkara-perkara tertentu dikembalikan. Bagaimanapun, ini masih belum dibawa ke Parlimen (untuk dibentangkan),” katanya.

Hajiji juga berkata urusan Persekutuan-Negeri hari ini tidak seperti dahulu apabila pendahulu seperti Tun Mustapha Datu Harun dan Tan Sri Harris Salleh boleh mengeluarkan pengumuman penting seperti projek melalui TV dan radio, sebelum memaklumkan Kerajaan Persekutuan secara rasmi kemudian.

Pemimpin-pemimpin ini mempunyai gaya kepimpinan yang berani tetapi kini terdapat prosedur yang perlu diikuti supaya semua orang berada di halaman yang sama.Namun begitu, katanya, inilah masanya untuk Sabah dan Sarawak meneruskan tuntutan MA63.

“Saya percaya Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melaksanakan hasil bersih 40 peratus itu, tetapi secara berperingkat.

“Anwar berkata kepada saya bahawa dia mewarisi hutang Kerajaan Persekutuan berjumlah RM1.5 trilion dan sedang memikirkan bagaimana untuk membayar Sabah, yang dia percaya akan melibatkan berpuluh bilion Ringgit, itu bukan mudah.

“Saya faham keadaan Perdana Menteri. Tetapi saya katakan kepadanya, cari jalan untuk membantu Sabah mengikut apa yang sepatutnya kerana kita juga memahami dan memikirkan kepentingan negara,” kata Hajiji.

Beliau juga mengakui beberapa pemimpin Persekutuan sebelum ini tidak mengambil berat tentang MA63 dan 40 peratus kerana mereka kuat dari segi politik dan boleh memilih untuk tidak mendengar suara Sabah dan Sarawak.

“Nasib baik, pemimpin Persekutuan sekarang berbeza kerana mereka mendengar, mengambil berat dan serius meneliti apa yang Sabah dan Sarawak perlukan, malah sanggup memenuhi hak kedua-dua negeri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan MA63.”

Mengenai pembiayaan RM320 juta yang dijanjikan baru-baru ini untuk menangani masalah air di Sabah yang masih belum disalurkan, Hajiji berkata Kerajaan Negeri tidak mempunyai masalah menggunakan wang sendiri terlebih dahulu untuk melakukan apa yang perlu bagi Sabah kerana Kerajaan Persekutuan akan membayar balik.

Mengenai sama ada Persekutuan memberi janji kosong, beliau menyangkal tanggapan sedemikian dengan mengatakan terdapat prosedur dan proses di bahagian kewangan dan perbendaharaan yang perlu dipatuhi.

— Hayati Dzulkifli dan James Sarda