KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM70 juta bantuan kewangan kepada sekolah mubaligh, sekolah swasta, kuil dan badan keagamaan bukan Islam bagi tahun ini, dengan jumlah itu akan ditingkatkan kepada RM90 juta pada tahun depan, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
Beliau turut mengumumkan bahawa Unified Examination Certificate (UEC) kini diiktiraf oleh Kerajaan Negeri, sekali gus membolehkan pemegang sijil berkenaan memohon biasiswa negeri dan kemasukan ke institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri.
“Kita bukan sahaja mengiktiraf UEC, malah akan mempertimbangkan pemegang sijil ini untuk memohon Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah,” katanya ketika berucap pada Malam Ramah Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh dan sekolah menengah persendirian Cina serta badan keagamaan bukan Islam, di sini, kelmarin.
Hajiji menegaskan kerajaan negeri sentiasa memberi perlindungan yang adil tanpa mengira kaum atau agama dan akan terus membantu mana-mana institusi atau persatuan mengikut kemampuan kewangan negeri. Sejak lima tahun memimpin, prinsip perpaduan dan kebersamaan menjadi teras pentadbiran Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Selain peruntukan utama RM70 juta, Hajiji memaklumkan pelbagai bantuan lain turut disalurkan melalui Peruntukan Khas Ketua Menteri, termasuk sokongan kepada sekolah Cina, persatuan kebudayaan, Pesta Tahun Baharu Cina, Pesta Bot Naga, pembelian kepala singa serta bantuan untuk gereja.
Mengulas isu bekalan air, Hajiji mengakui masalah berlarutan itu berpunca daripada penamatan kontrak konsesi oleh kerajaan terdahulu, yang menyebabkan kerajaan kini perlu membayar pampasan RM315 juta kepada syarikat terlibat.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pelbagai langkah sedang dilaksanakan, termasuk 18 projek pembangunan bekalan air bernilai RM1.2 bilion, antaranya Loji Rawatan Air Kogopon (RM365 juta) di Papar yang dijangka siap 2026, serta Empangan Air Cinta Mata (RM300 juta) di Tawau yang dijangka siap 2027.
Kerajaan Persekutuan juga meluluskan pinjaman RM300 juta bagi mempercepat projek air, manakala Loji Rawatan Air Telibong II sudah mengagihkan 160 juta liter sehari untuk kawasan Kota Kinabalu, KKIP dan Tuaran. Untuk jangka panjang, Projek Hidroelektrik dan Skim Bekalan Air Ulu Padas dengan kapasiti 6,000 MLD akan dibangunkan dan dijangka siap pada 2030.
Hajiji menambah, Jabatan Air Sabah akan dikorporatkan sebagai sebahagian usaha menambah baik pengurusan air, termasuk menangani masalah sambungan haram yang menyumbang kepada kadar Air Tidak Berhasil (NRW) tertinggi di Malaysia, mencecah 57 peratus.
Ketua Menteri berkata, pelaksanaan pelbagai dasar melalui Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) telah meletakkan Sabah di landasan ekonomi yang kukuh. Pertumbuhan positif disokong peningkatan pelaburan serta perkembangan sektor pelancongan.
“Kita mempunyai visi dan kemahuan politik untuk membawa Sabah dan rakyatnya ke tahap kecemerlangan,” katanya.

























Add Comment