Home » Kerajaan tekad perkasa pembangunan
Berita Gagasan Rakyat Berita GRS Politik

Kerajaan tekad perkasa pembangunan

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berucap pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 Yang Di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Seri Panglima (Dr) Haji Juhar bin Datuk Haji Mahiruddin di Istana Seri Kinabalu, Kota Kinabalu pada Sabtu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bertekad memperhebatkan lagi pembangunan Sabah disamping menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai program serta inisiatif yang meliputi pelbagai sektor pembangunan.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, seiring dengan komitmen itu, kerajaan negeri akan menubuhkan dua lagi taman perindustrian baharu iaitu di Kimanis bagi minyak dan gas dan taman perindustrian biasa di kawasan antara Kota Marudu dan Kota Belud. 

Beliau berkata, penubuhan taman perindustrian baharu itu dilakukan susulan dua taman perindustrian sedia ada iaitu Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) telah hampir penuh. 

“Usaha ini juga sejajar dengan pendekatan mesra pelabur yang diamalkan kerajaan untuk merancakkan lagi pertumbuhan industri di negeri ini,” katanya dalam ucapan menjunjung kasih pada Majlis Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Bintang-Bintang serta Pingat-Pingat Negeri Sabah Sempena Sambutan Ulang Tahun Kelahiran Rasmi Ke-70 Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, hari ini.

Hajiji berkata, dalam tempoh baharu tiga tahun menerajui negeri ini, agenda pembangunan negeri khususnya Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) kini berada di landasan yang betul dan mula menampakkan hasil positif. 

Menurutnya, kejayaan turut dicapai dalam pelbagai sektor yang diberi keutamaan menerusi SMJ seperti perindustrian, pertanian dan pelancongan termasuk pembangunan modal insan bagi memastikan anak-anak tidak tercicir dalam aspek pendidikan dan peluang pekerjaan.

Katanya, menurut laporan Statistik Perdagangan Luar Negeri Sabah, negeri ini telah mencatatkan jumlah perdagangan sebanyak RM118.1 billion pada tahun 2022, yang merangkumi eksport sebanyak RM77.2 billion dan import RM40.9 billion, dengan lebihan dagangan sebanyak RM36.2 billion.

“Dari segi eksport, ia membabitkan produk perdagangan utama antaranya petroleum
mentah, minyak kelapa Sawit dan gas asli cecair manakala import kita ialah jentera dan kelengkapan pengangkutan, makanan serta barangan keluaran kilang.

“Walaupun pencapaian ini amat memberangsangkan, namun banyak lagi yang perlu kita lakukan untuk tahun-tahun mendatang, khususnya membabitkan tiga teras utama Hala Tuju Sabah Maju Jaya iaitu sektor perindustrian, pertanian dan pelancongan,” katanya.

Hajiji berkata, dalam aspek pelancongan, jumlah ketibaan pelancong ke Sabah semakin meningkat iaitu seramai 1.4 juta pengunjung dalam tempoh Januari sehingga Julai 2023, dengan pelancong tempatan seramai 999,129 dan antarabangsa 424,052 orang. 

— TAMAT

About the author

JABT

Add Comment

Click here to post a comment