Home » Kes tuntutan waris Sulu bukan bidang kuasa ICJ – Armizan
Uncategorized

Kes tuntutan waris Sulu bukan bidang kuasa ICJ – Armizan

Armizan menyampaikan taklimat di Sesi Interaksi Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) melibatkan penerangan mengenai MA63 kepada wakil kepimpinan golongan muda dan pelajar di Sabah.

KOTA KINABALU: Isu tuntutan pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu ke atas Sabah tidak termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, syor untuk membawa kes tuntutan berkenaan ke ICJ perlu diteliti berdasarkan dua perkara iaitu bidang kuasa ICJ serta kausa tindakan (Cause of Action).


Katanya, bidang kuasa ICJ adalah mendengar dan mengadili pertikaian undang-undang antara negara.


Menurutnya, dalam konteks pihak yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu, mereka bukanlah mewakili negara dan bukanlah sebuah negara tetapi hanya sekumpulan individu.


Sehubungan itu jelasnya, tuntutan yang dibuat pihak penuntut berkenaan ke atas Sabah tidak termasuk dalam bidang kuasa ICJ.


Armizan berkata demikian bagi mengulas gesaan Presiden Parti Warisan (WARISAN) yang juga Ahli Parlimen Semporna Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal pada persidangan Parlimen baru-baru ini supaya kerajaan Persekutuan membawa isu tuntutan itu ke ICJ.


“Ahli Parlimen Semporna sendiri ada menjelaskan semasa sidang Parlimen bahawa Kesultanan Sulu sudah tidak wujud. Maka, jika benar Kesultanan Sulu tidak lagi wujud, mengapa tuntutan mereka ini kita perlu terima dan setuju bawa kepada ICJ,” katanya pada sidang media di sini hari ini.


Menurutnya, dari segi kausa tindakan, perbicaraan prosiding di ICJ memerlukan kepada sesuatu tindakan undang-undang atau sesuatu tuntutan yang dibawa oleh pihak tertentu.


“Bagi saya, Malaysia tidak ada sebarang tuntutan, tidak ada apa yang perlu dituntut dan kita tidak menuntut wilayah mana-mana pihak kerana Sabah adalah Malaysia dan Malaysia adalah Sabah.


“Justeru, tidak timbul isu untuk kita membawa tuntutan ini ke ICJ untuk menuntut sesuatu wilayah daripada pihak yang lain.
“Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga adalah bukti jelas kerana ia adalah perjanjian komprehensif melibatkan semua pihak untuk membentuk Malaysia,” katanya.


Beliau berkata, MA63 adalah sebuah perjanjian antarabangsa yang diiktiraf dan didaftarkan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai ‘UN Treaties’ pada 29 September 1970.


Menurutnya, pengiktirafan kepada kedaulatan Persekutuan Malaysia sekali gus bermaksud pengiktirafan kepada Sabah sebagai sebuah wilayah berdaulat dalam Persekutuan Malaysia.


“Saya menggesa mana-mana pihak agar lebih cermat dan berhati-hati dalam apa juga kenyataan dan tindakan yang melibatkan integriti dan kedaulatan mana-mana bahagian wilayah dalam Persekutuan Malaysia.


“Kita tidak mahu sesuatu kenyataan dan tindakan dimanipulasi dan mencetus asas tindakan bagi mana-mana pihak luar untuk mempertikaikan kedaulatan tanah air.


“Serahkan kepada pihak yang berkuasa untuk menentukan sebarang tindakan yang melibatkan kedaulatan negara berpandukan kepada undang-undang, peraturan dan prosedur yang berkuat kuasa,” jelasnya. 


Beliau berkata, tidak ada kenyataan dan tindakan ‘unilateral’ mana-mana pihak yang boleh mengatasi dan membelakangkan kepentingan besar negara.


Terdahulu Armizan menghadiri Sesi Interaksi Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) melibatkan penerangan mengenai MA63 kepada wakil kepimpinan golongan muda dan pelajar di Sabah.

Siti Aisyah Narudin