KOTA KINABALU: Kesan tarif yang diumumkan Amerika Syarikat (AS) terhadap negeri ini hanya pada minimum sahaja.
Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee berkata, ia kerana eksport Sabah ke AS adalah sedikit dan tarif 24 peratus yang dikenakan ke atas eksport Malaysia hampir tidak memberikan kesan terhadap perdagangan antarabangsa Sabah.
“Eksport langsung barangan Sabah ke AS untuk tahun ini dianggarkan sekitar satu peratus sahaja.
“Eksport utama Sabah terdiri daripada minyak dan gas, minyak sawit, produk sawit, produk kayu, makanan laut, pasir silika dan produk makanan yang kebanyakannya di eksport ke negara-negara Asia Timur Laut (China, Jepun, Korea) dan India, Eropah dan negara-negara ASEAN serta Semenanjung Malaysia.
“Eksport Sabah ke AS hanya terdiri daripada minyak dan gas, produk kayu dan minyak sawit. Baru-baru ini, Sabah mula mengeksport sejumlah besar kuprum foil ke AS,” katanya dalam suatu kenyataan.
Mantan Ketua Menteri itu berkata, kuprum dan beberapa produk kayu merupakan antara barangan yang dikecualikan daripada tarif timbal balik AS. Oleh itu, eksport kuprum foil dan beberapa produk kayu Sabah tidak terjejas.
Sementara itu katanya, bagi tarif minyak sawit, jumlah minyak sawit yang dieksport ke AS hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah eksport minyak sawit dan produk sawit Sabah dengan anggaran RM20 bilion untuk 2025.
“Kebanyakan minyak sawit dan produk sawit Sabah dieksport ke China, India, Eropah (terutama Belanda). Oleh itu, tidak sukar bagi pengeksport minyak sawit Sabah untuk mengalihkan minyak sawit mereka daripada pasaran AS kepada pengimport utama minyak sawit Sabah yang lain.
“Apa yang perlu dilakukan oleh sektor minyak sawit Sabah juga adalah untuk mempunyai harga baja yang stabil, tenaga kerja yang boleh dipercayai di ladang kelapa sawit dan peningkatan infrastruktur dan logistik tempatan untuk meningkatkan produktiviti industri minyak sawit,” katanya.
— TAMAT
Add Comment